PETALING JAYA: Tiga individu termasuk sepasang suami isteri didakwa di
Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang
kontraktor berhubung pelaburan projek Lebuhraya Pantai Timur Selatan
yang tidak wujud, dua tahun lalu.
Pengurus Projek, Mohd. Nasir Abu Hassan, dan isterinya, pengarah
syarikat pembinaan, Nazhatul Syahira Sanusi, 26, serta arkitek, Wan
Anizam Wan Ishak, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas
pertuduhan di-bacakan kepada mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu S.R. Letchuman,
47, dengan memperdayakan mangsa untuk melabur dalam projek Lebuhraya
Pantai Timur Selatan yang telah diberikan kepada mereka walhal projek
itu tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM1,06 juta.
Memetik Utusan Online, perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Thiviya
Builders Sdn. Bhd., Jalan SP 2/4 Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan
dekat sini pada September 2016.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang pen-jamin.
Hakim Datin Fazlin Suraya Mohd. Suah membenarkan setiap tertuduh diikat
jamin RM20,000 dengan seorang pen-jamin berserta syarat tambahan
pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke balai
polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 6 Jun ini, sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Peguam M. Manoharan dan Lily Chua mewakili Mohd. Nasir dan Nazhatul Syahira.
Manakala, peguam Datuk Suraj Singh mewakili Wan Anizam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.