Khamis, 3 Mei 2018

PRU14: Lapan kertas siasatan dibuka

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur membuka lapan kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sejak petang Sabtu lalu hingga hari ini.
 
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata satu daripadanya membabitkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berhubung dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pesawat membawanya ke Pulau Langkawi, Kedah, disabotaj.
 
"Kertas siasatan yang dibuka setakat hari ini membabitkan lapan kes kesalahan ketika kempen dari 28 April hingga hari ini.
 
"Tiga kes membabitkan khianat disiasat mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan, satu kes khianat dengan api, satu mengikut Akta Antiberita Tidak Benar berhubung dakwaan Dr Mahathir kapal terbang beliau disabotaj dan satu kes Kertas Enkuiri Polis (KEP)," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Peningkatan Kesedaran Pencegahan di Balai Trafik Jalan Tun HS Lee di sini, hari ini.
 
Mazlan berkata, pihaknya menerima 66 permohonan permit mengadakan ceramah untuk kempen PRU-14.
 
"Kita turut membuka dua kertas siasatan membabitkan dua ceramah tanpa permit," katanya.
 
Mengenai persediaan menjelang proses pengundian awal 5 Mei ini, beliau berkata, seramai 437 petugas akan ditempatkan di 23 pusat mengundi di ibu negara.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.