ISMA WEB
Krisis UMNO-istana: Kegagalan menjadikan 'Chu' sebagai Menteri Besar
PEDANG
dah agak. Apabila terlalu lama masa diambil untuk melantik Menteri
Besar Perlis, mesti ada sesuatu yang tidak kena. Apa lagi masa
‘huru-hara’ untuk memilih bakal calon BN/UMNO sebelum PRU14 lalu, pun
Pedang dapat agak ‘huru-hara’ itu akan berterusan selepas PRU.
Huru-hara politik UMNO di Perlis bukan baru. Sejak beberapa penggal lalu sudah berlaku, angkara politiking individu.
Kali ini,
huru-hara makin lebih parah apabila membabitkan Tuanku Raja Perlis
sendiri – Raja negeri kelahiran Pedang. Dan, terang-terang mengengkari
perintah Raja. Melayu mencabar Raja. Sebelum ini, mereka lah yang
terpekik mengkritik orang yang ‘melawan’ Raja, tapi sekarang, apabila
diri dipentingkan daripada rakyat, mereka sendiri melawan Raja.
Cuba selak
balik cerita sebelum PRU yang lalu. Macam-macam hal yang timbul,
daripada berebut kerusi, cantas kaki kawan, salam kalih, hinggalah
BN/UMNO hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi
Parlimen.
Sebelum
ini, walaupun istana tidak campur urusan politik, Pedang ada
dengar-dengar juga istana ada bagi pendapat demi rakyat, tetapi Badan
Perhubungan UMNO Negeri buat tak peduli.
Pedang pun pernah tulis isu pemimpin UMNO Perlis berebut nak jadi calon, nak jadi wakil rakyat.
Perlis
bukannya besar mana pun. Tiga negeri Perlis sama dengan satu kawasan
Parlimen di Pahang atau Terengganu. Tapi, masya-Allah, politik UMNO di
Perlis, bagai negeri kena serang garuda, hingar-bingar, huru-hara.
Kerana apa? Untuk mengekalkan empayar.
Macam lagu
’10 budak hitam’, walaupun berjaya mengekalkan 10 kerusi DUN, tapi
sekarang sudah tinggal sembilan, selepas Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Bintong, Datuk Azlan Man, yang mengangkat sumpah di hadapan Raja
Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,
dipecat serta-merta daripada UMNO, berkuat kuasa semalam.
Malah,
pada majlis mengangkat sumpah Menteri Besar itu, sembilan calon UMNO
yang menang pada PRU lalu dan menjadi ‘pak turut’ kepada Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim, enggan hadir.
Memboikot majlis yang dijemput oleh Raja Perlis, memboikot majlis yang
Raja Perlis sendiri menjadi tuan rumah.
Raja Perlis sendiri sudah buat kenyataan berhubung ‘sembilan budak hitam’ ini.
“Ini
adalah kepentingan sesetengah puak, segan untuk saya sebut nama tetapi
tuan-tuan pun tahu siapa. Hari ini sebilangan besar mereka tidak hadir..
sebab apa (tidak hadir) saya pun tidak tahu, sedangkan jemputan dibuat
dua hari lalu dan mereka masih berada di Perlis ketika itu.
“Sekarang
mereka berada di Kuala Lumpur, semalam mereka pergi menaiki kapal
terbang.. ini berdasarkan laporan yang saya terima,” titah baginda di
Istana Arau, semalam.
Layakkah
mereka dipanggil wakil rakyat? Apa yang pengundi mereka ini mampu kata
apabila wakil rakyat yang mereka lantik, sekarang ini telah menentang
kehendak Raja, telah mengetepikan Raja Berdaulat yang menjadi tonggak
sesebuah negeri?
Memang
kalau ikutkan kenyataan Shahidan, Raja tidak boleh campur tangan dalam
pelantikan Menteri Besar. Tapi Raja juga ada hak untuk memberi pendapat,
membuat pilihan siapa yang dikehendaki. Adakah UMNO menganggap Raja
sebagai patung? Tidak boleh bersuara demi rakyat di bawah jajahan tadbir
baginda?
Pedang
boleh terima jika menyanggah pendapat Raja bukan bererti menentang Raja.
Tapi, masing-masing sudah dewasa. Kalau sudah menunjukkan sikap tidak
menerima kata-kata Raja, tidak hadir di majlis yang Raja sendiri jemput,
memboikot majlis dihadiri Raja, melakukan tindakan yang boleh
menyebabkan air muka Raja jatuh di kalangan rakyat Perlis dan rakyat
negeri lain, Pedang rasa ini sudah lebih.
Sekarang,
apabila Azlan sudah dipecat, bermakna beliau menjadi Adun Bebas. Akibat
krisis politik UMNO dengan istana – hanya kerana gara-gara untuk
meletakkan adik sendiri menjadi Menteri Besar – maka, Perlis sekarang
ini menjadi negeri pertama memiliki Menteri Besar Bebas.
Pedang
ingin katakan bahawa mereka yang menang pada PRU lalu masih belum
menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kerana mereka belum
mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di
hadapan Speaker yang juga belum dilantik.
Selepas
ini, banyak masalah akan timbul, termasuk pelantikan Ahli Exco Kerajaan
Negeri. Sekarang UMNO ada sembilan kerusi yang dimenangi pada PRU14
lalu, manakala Pakatan Harapan (PH) tiga, PAS (dua) dan Bebas satu
(Azlan).
Azlan
boleh melantik empat atau lima pemimpin PH dan PAS yang menang itu
menjadi Ahli Exco dengan mengecilkan portfolio pentadbiran. Langkah ini
boleh dibuat untuk membentuk kerajaan perpaduan demi kebaikan rakyat
Perlis. Pada 2008 pun, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mat Isa Sabu
pernah menjemput Adun PAS menjadi Ahli Exco.
Isu
Speaker dan Timbalan Speaker tidak timbul kerana Azlan boleh melantik
sesiapa sahaja untuk menjadi Speaker DUN, sebagaimana yang dilakukan
pada 2013 apabila bekas Pengarah Kemas Perlis, Hamdan Bahari, dilantik
menjadi Speaker. Malah, ia diperuntukkan dalam Perkara 56 (1) (1B)
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Dan, buat
masa sekarang, sembilan ahli UMNO yang menang itu, masih tidak dapat
berbuat apa-apa. Hendak mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri
Besar juga tidak boleh kerana mereka belum mengangkat sumpah sebagai
anggota DUN Perlis. Hendak menghantar petisyen kepada Raja Perlis juga
janggal kerana baginda sendiri menerima pelantikan Azlan.
Mahu tidak
mahu, ‘sembilan budak hitam’ ini terpaksa menunggu sehingga Bahagian
Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis menjalankan
segala urusan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan, yang dilaksanakan
mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan/atau
Peraturan-Peraturan dan Perintah-perintah Dewan Undangan Negeri, bagi
jawatan Speaker DUN dan Ahli Exco.
Kemudian,
barulah semua pemenang PRU14 akan dipanggil untuk mengangkat sumpah
sebagai Adun Perlis di hadapan Speaker di dewan mesyuarat DUN Perlis.
Mahukah mereka mengangkat sumpah?
Pedang
rasa semua ‘sembilan budak hitam’ ini akan hadir untuk mengangkat
sumpah, tetapi dengan satu matlamat iaitu akan mengemukakan undi tidak
percaya kepada Menteri Besar atau pentadbirannya. Ini kerana mereka
mempunyai kerusi majoriti di dalam DUN.
Dan,
episod baru ‘permainan’ oleh pemimpin UMNO akan dimulakan sekali lagi,
dengan mahu melantik calon yang mereka kehendaki menjadi Menteri Besar,
walaupun Raja Perlis sendiri telah menolaknya baru-baru ini.
Permainan
seperti ini sebenarnya merugikan rakyat Perlis, negeri kecil yang
kekurangan sumber pendapatan, yang hanya mengharapkan bantuan Kerajaan
Pusat. Dan, Kerajaan Pusat pula kini bukan lagi BN, tetapi PH.
Tetapi,
jika mereka tidak hadir pada majlis angkat sumpah sebagai anggota dewan,
lain pula jadinya. Mungkin, silap-silap satu pilihan raya kecil
serentak di sembilan kerusi akan diadakan. Perkara ini perlu dilihat di
dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dan perkara-perkara
berhubung kait dengan urusan pilihan raya.
Pedang
peringatkan sembilan individu yang memboikot majlis Raja Perlis dan
majlis pelantikan Menteri Besar supaya berfikir semula demi rakyat.
Kepentingan beribu-ribu rakyat atau demi seorang individu yang mahu
mengekalkan empayar politik?
Terlajak
perahu boleh diundur. Jika tiada harga diri dan tiada pendirian,
pergilah angkat sumpah, tapi jika tetap dengan pendirian dan ada harga
diri, kosongkan kerusi dimenangi mengikut Perkara 52 Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Negeri Perlis, supaya rakyat boleh buat pilihan mereka sekali
lagi. Pada PRU14 lalu, 13 kerusi DUN ditandingi UMNO mendapat sokongan
daripada 42,543 pengundi sahaja.
Sekarang
ini siapa yang sembilan pemimpin UMNO yang menang itu hendak dahulukan?
Rakyat Perlis? 42,543 pengundi yang memangkah mereka? Atau seorang
individu penyebab krisis ini berlaku dan mengheret bersama mereka supaya
tidak menghormati Raja Perlis?
Kata Pedang: Sepuluh budak hitam, main tepi jalan, satu lari pulang yang tinggal sembilan. Lepas ini???
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.