TAIPING: Polis menahan seorang jurujual kereta sambilan bagi membantu
siasatan berhubung komen jelik di Facebook mengenai anggota polis trafik
yang terlibat dalam kemalangan di KM 223.1 Lebuhraya Utara-Selatan
berhampiran Changkat Jering, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata,
suspek lelaki berumur 24 tahun ditahan di Pengkalan Chepa, Kelantan pada
pukul 9.45 malam pada Jumaat.
"Lelaki yang menggunakan akaun Facebook dengan nama 'Tengku Badaruddin'
telah memuat naik beberapa keping gambar melibatkan tiga anggota Unit
Pasukan Peronda Lebuh Raya terlibat berserta dengan kenyataan jelik
dalam loghat Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin
malam.
Kenyataan jelik itu seolah-olah menuduh anggota polis berkenaan mengejar sebuah lori kerana ingin meminta habuan.
Sehubungan itu, Mohamad Taib berkata, lelaki tersebut direman sehingga 3
Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi
Multimedia 1998.
Dalam kemalangan pukul 8.30 pagi Khamis lalu, seorang pelajar kolej
swasta, Muhd Hakeem Badrol Hisham, 21, maut manakala dua anggota polis
cedera selepas dirempuh sebuah lori.
Anggota polis berkenaan berhenti di bahu jalan untuk membantu pelajar
terbabit yang tayar keretanya pancit sebelum sebuah lori dengan muatan
barangan runcit hilang kawalan lalu melanggar kereta peronda polis dan
kereta mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.