Selasa, 1 Mei 2018

Jenazah dua pelajar Malaysia dijangka tiba pagi ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Jenazah dua pelajar Malaysia, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Garuda Sakti, Pekanbaru, Riau, Indonesia, Ahad lepas, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.
 
Menurut jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, kedua-dua jenazah mangsa, Mohammad Shaiful Bukhari Amat, 25, dan Ameer Hakimi Azman, 20, dibawa menaiki pesawat Lion Air pada 6.30 petang (waktu Indonesia Barat) dari Pekanbaru sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
 
Jurucakap itu berkata, kedua-dua jenazah mangsa dijangka diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan pesawat pertama Malaysia Airlines pada jam 4.25 pagi ini (waktu tempatan).
 
Jenazah Ameer Hakimi akan diterbangkan ke Pulau Pinang antara jam 9 hingga 11 pagi waktu Malaysia manakala jenazah Shaiful Bukhari akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Subang untuk diterbangkan dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sandakan, katanya dipetik agensi berita.  
 
Dalam kejadian jam 3.30 petang waktu tempatan, kedua-dua pelajar berkenaan yang menunggang sebuah motosikal dilaporkan terlanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.
 
Kedua-dua mangsa adalah pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN Suska) Riau.
 
Ameer Hakimi disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital manakala Mohamad Shaiful meninggal dunia ketika dirawat di Rumah Sakit Aulia. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.