Sabtu, 26 Mei 2018

Ismail Kassim minta mufti nasihat Raja Perlis

 
   
Datuk Ismail Kassim melihat tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil untuk negeri (PRN) Perlis kerana ia hanya menyumbang kepada pembaziran.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkaitan krisis yang melanda negeri tersebut.

“Kalau kita adakan PRN ia satu lagi pembaziran wang rakyat yang melibatkan puluhan dan ratusan juta, mana kita nak cari wang sedangkan negara perlu jimat.

“Kita nak selesaikan apa yang ada sekarang dengan bijaksana. Semua pihak kena berlapang dada, terbuka panggil berbincang dan kena ada satu jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita di luar balai polis Jalan Eusoff, Kuala Lumpur hari ini.

Asri melalui kenyataannya hari ini berpendapat Perlis harus mengadakan pilihan raya semula susulan krisis menteri besar yang sedang melanda.




Menulis di Facebook, Asri berkata jika pilihan raya raya baru dibuat, boleh membuka kemungkinan baru.

Semalam, kesemua ADUN BN Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar Azlan Man kerana mahukan Ismail, adik pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.

Tindakan itu menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka.

Baginda bertitah tidak mahu seorang menteri besar boneka. Ismail menafikan perkara itu dan mencadangkan nama lain selain beliau dan Azlan.

ADUN BN tak sokong Azlan

Shahidan mendakwa kesemua sembilan ADUN BN tidak menyokong Azlan, sekali gus bermakna mereka memperoleh majoriti penentu dalam dewan negeri.

Termasuk Azlan, BN mempunyai sepuluh kerusi manakala lima lagi milik pembangkang.

Sementara itu, Ismail meminta Asri supaya menasihati semua pihak termasuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin berkaitan situasi sebenar yang berlaku terhadap mereka.

“Suruh dia (Asri) nasihat baik-baik la, saya nasihatkan Datuk Asri sebagai ulama yang dihormati boleh bagi nasihat terutamanya kepada rakan-rakan termasuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri tentang keadaan sebenar di Perlis,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.