DI sebalik kegembiraan
pemimpin PAN atas kejayaan memujuk anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz,
Nik Omar, untuk bertanding atas tiket PAN di N.06 Chempaka dalam PRU14,
saya menjangkakan bahawa tindakan ini akan memakan diri PAN sendiri.
Seperti diketahui, Nik Omar telah
berkali-kali menyebut tidak akan bertanding dalam PRU14 atas faktor
“Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta
tidak terlibat, kita kena terima” kerana “Apa jua yang kita lakukan
pentingnya mendapat keizinan dan restu ibu”.
Bila pemimpin PAN terus-terusan memujuk
Nik Omar walaupun mereka cukup tahu bahawa isteri Almarhum Datuk Nik
Abdul Aziz dan bonda Nik Omar, Datin Tuan Sabariah, tidak memberi
keizinan dan restu, persepsi rakyat ialah PAN pemecah belah keluarga.
Maklum balas yang saya terima pagi ini
rata-rata menyebut mengenai betapa terdesaknya PAN di dalam berpolitik
sehingga ke tahap sanggup mendorong Nik Omar supaya mengingkari
kata-kata dan melukai hati isteri Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan
bonda beliau sendiri.
Selain menimbulkan keributan di dalam
keluarga Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, tindakan PAN menurunkan Nik Omar
sebagai calonnya pasti akan menghadapkan Nik Omar dengan pelbagai
kritikan yang tidak dapat tidak akan menjejaskan nama Almarhum juga.
Tindakan PAN menurunkan Nik Omar juga
akan mempertembungkan beliau dengan adik beliau, Nik Mohd Abduh, dan dua
sepupu beliau, Datuk Tuan Ibrahim dan Datuk Dr Nik Zawawi, selaku
calon-calon PAS di P.25 Bachok, P.24 Kubang Kerian dan P.28 Pasir Puteh.
Sebab itulah tindakan PAS menurunkan Nik
Mohd Abduh di P.25 Bachok, bukannya di P.20 Pengkalan Chepa atau N.06
Chempaka, adalah tindakan terpuji yang menghalang pertembungan
adik-beradik yang boleh menjejaskan nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz.
Tindakan PAN menurunkan Nik Omar dan
menjanjikan jawatan Menteri Besar kepada beliau juga menjadi petanda
jelas bahawa PAN tidak mempunyai kekuatan sendiri sehingga memerlukan ia
mencari jalan menumpang nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz.
Ia juga menjadi petanda jelas bahawa PAN
amat ketandusan pemimpin yang berwibawa, khususnya dari kalangan
golongan ustaz dan Ulama’, sehingga menyebabkan ia terpaksa mencari
tokoh yang berada di luar parti untuk ditonjolkan sebagai pemimpinnya.
Perkara ini sudah tentu akan merendahkan
moral dan menjejaskan semangat pemimpin PAN lain yang berjuang
bermati-matian sebelum ini demi memajukan parti itu kerana mereka
akhirnya tidak diyakini untuk dinobatkan sebagai calon dan bakal Menteri
Besar.
Apa pun, walaupun membawa nama Almarhum
Datuk Nik Abdul Aziz, saya menjangkakan dengan cukup yakin bahawa Nik
Omar akan kalah di tangan calon PAS, Ahmad Fathan, yang di dalam PRK
N.06 Chempaka pada 22 Mac 2015 dulu berjaya memperoleh 10,899 undi.
Walaupun membawa nama bapa beliau, Nik
Omar, sama seperti Datuk Dr Mujahid di P.57 Parit Buntar dan Muhammad
Faiz di N.11 Permatang Pasir yang turut membawa nama bapa mereka, yang
mereka bawa hanyalah nama, bukan pemikiran dan tindakan bapa mereka.
Ini kerana kajian yang jujur dan
objektif terhadap Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, Almarhum Yusof Rawa dan
Almarhum Datuk Fadzil akan mendapati bahawa pemikiran dan tindakan
mereka adalah selari dengan pemikiran dan tindakan pemimpin PAS
sekarang.
Dan kajian yang jujur dan objektif
terhadap Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, Almarhum Yusof Rawa dan Almarhum
Datuk Fadzil akan mendapati bahawa pemikiran dan tindakan mereka adalah
bercanggah dengan pemikiran dan tindakan pemimpin PAN sekarang. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.