Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak
sepatutnya terus menuding jari kepada kerajaan Persekutuan berhubung isu
pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd.
(Splash).
Ujar bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerajaan
negeri yang mahu membeli Splash untuk melengkapkan penstrukturan semula
industri air dan bukannya kerajaan Persekutuan.
Malah katanya, kerajaan Persekutuan langsung tidak terdesak dalam soal
penyusunan semula industri air negeri itu dan jika kerajaan pimpinan
Perdana Menteri mahu, pihaknya boleh menggunakan Akta Industri
Perkhidmatan Air Negara 2005 (Akta 655) untuk mengambilalih Splash.
"Kerajaan pusat, dia kata kalau kerajaan negeri tidak mahu pun tidak
apa. Yang inginkan penyusunan semula industri air ialah kerajaan negeri
Selangor.
"Jadi mengikut Akta 655, akta air, kalau kerajaan negeri tidak dapat
selesaikan pengambilan ini. Kerajaan persekutuan ada kuasa untuk
membuatnya sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran
manifesto PAS Selangor, di Shah Alam.
Azmin dalam sidang DUN Selangor kelmarin berkata kelewatan
pengambilalihan Splash adalah kerana kerajaan Persekutuan masih belum
mengemukakan tawaran harga, yang dinilai penilai bebas lantikannya.
Namun Azmin sendiri belum mendedahkan berapakah tawaran harga kerajaan negeri untuk mengambialih Splash.
Khalid sebelum ini mendakwa Azmin mahu membayar Splash dengan harga
yang jauh lebih tinggi berbanding apa yang beliau tawarkan ketika
menjadi menteri besar.
Khalid, hanya bersetuju untuk membayar pampasan sekitar RM250 juta
menyebabkan Splash menolak dan bertegas nilai syarikatnya setakat 31
Disember 2013 adalah RM2.5 bilion.
Splash ketika itu juga mendakwa jika dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.
Splash satu-satunya syarikat konsesi yang masih belum diambilalih
kerajaan negeri. Khalid ketika itu berhasil mengambilalih Syarikat
Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd
(ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB).
Khalid kemudiannya berkata, jika Azmin benar-benar mahu mengutamakan
hak rakyat ADUN Bukit Antarabangsa itu sepatutnya meneruskan tawaran
kerajaan negeri yang terdahulu dengan nilai keseluruhan pengambilalihan
empat syarikat konsesi tidak melebihi RM9.65 bilion, seperti yang sedia
dibiayai kerajaan Persekutuan.
"Saya mencadangkan supaya kita meneliti tentang perkara ini sebab saya
taknak rakyat Selangor kena bayar lebih daripada apa yang kita sudah
bincangkan dengan kerajaan Persekutuan, iaitu RM9.65 bilion.
"Kalau nak bagi harga lain, lain lah cerita. Dari segi harga itu yang
saya nak jelaskan bukan sahaja kerajaan negeri tahu. Kerajaan
persekutuan pun tahu. Kerajaan persekutuan bersedia membiayai semua,
iaitu jumlah 9.65 bil.
"Bersedia. Kalau siap je tandatangan, kerajaan persekutuan akan luluskan (segalanya) termasuk geran," katanya.
Khalid memberi amaran, harga aset Splash akan terus meningkat jika
kerajaan negeri melengah-lengahkan pengambilalihan syarikat itu.
"Mengikut kiraan saya, jika kita teruskan cara (melewatkan-lewatkan)
yang ada sekarang, kerajaan negeri akan terpaksa menambah lagi sebanyak
sekurang-kurangnya RM2 bilion untuk menguasai ekuiti Splash.
Itu kiraan (RM4.7 juta) saya bahawa apa pun yang kita lakukan, kita
perlu tumpukan kepada RM9.65 bilion. Jadi sekurang-kurangnya yang
tinggal duit itu lebih kurang RM1.8 bilion. Jadi pada saya, RM1.8 bilion
itu cukup untuk menguasai ekuiti Splash," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.