Isnin, 2 April 2018

Azizah mengaku Dr Mahathir tak setuju janji mansuh tol?

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa bersetuju dengan janji manifesto gagasan itu untuk memansuhkan tol jika berjaya menguasai Putrajaya kelak.
 
Azizah berkata Pengerusi PH itu sudah terikat dengan janji-janji pilihan raya, justeru beliau terpaksa mendokongnya bersama pemimpin pakatan yang lain.
 
“Saya tekankan bahawa adanya manifesto yang mengikat dan dipersetujui oleh semua pimpinan kanan PH termasuk Tun Mahathir,” katanya dipetik Malaysiakini.
 
Azizah berkata demikian mengulas laporan Dr Mahathir yang menyuarakan kebimbangan dengan janji pemansuhan tol, walaupun telah dinyatakan dalam manifesto pilihan raya PH.
 
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar pembangkang kerana mengaku tidak dapat melaksanakan janji pilihan raya mereka selepas melancarkan manifesto itu pada 8 Mac lalu.
 
Najib dikatakan merujuk laporan akhbar Singapura Sunday Times pada 25 Mac yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata PH mungkin tidak dapat memenuhi janji-janjinya.
 
"Antara kami, ada sedikit perbezaan pendapat, tapi saya ada pengalaman dengan tol. Saya berpendapat kita tidak boleh janji hal seperti itu.
 
"Sebab itu apabila ditanya, saya tidak bersetuju tol dimansuhkan. Tanpa tol, kita tidak boleh baiki jalan, dan kita tidak boleh bina jalan baru. Kita minta sektor swasta yang buat, tapi mereka tidak akan buat kecuali mendapat pulangan.
 
"Sebab itu saya bimbang, dan apa yang saya katakan hanyalah kebimbangan saya," Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata demikian.
 
Bagaimanapun, selepas Dr Mahathir dituduh membuat pusingan-U berhubung janji pilihan raya PH, beliau menegaskan bahawa semua janji itu dapat dilaksanakan.
 
Katanya, janji-janji itu telah dikaji secara terperinci sama ada boleh dilaksanakan atau tidak namun ada beberapa perkara popular yang tidak boleh dilaksanakan.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.