A Kadir Jasin
BANYAK orang bertanya
saya mengenai Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan
di Parlimen pada 26 Mac.
Azalina: Denda RM500,000 atau 10 tahun penjara |
Saya tidak bercadang memberi
jawapan khusus mengenainya kerana perkara itu boleh dibaca di banyak saluran,
termasuk DI SINI dan Di SINI.
Apa yang hendak saya katakan adalah, undang-undang dan peraturan tidak sepatutnya menyekat hak bersuara dan
menyatakan perasaan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru itu adalah
menjadi tugas pihak yang arif dalam hal undang-undang memastikan sama
ada undang-undang baru ini buruk atau baik dan bercanggah dengan Perlembagaan
atau tidak.
Undang-undang yang tidak
baik (bad law) apatah lagi yang bercanggah dengan Perlembagaan (ultra virus)
wajib ditentang.
Sebagai seorang wartawan
dan penulis yang telah bergiat dalam dunia penulisan hampir 50 tahun saya sudah
biasa dengan undang-undang dan peraturan seperti ini sehingga saya tidak berapa
peduli lagi. Alah bisa tegal biasa.
Kalau saya berasa
terkongkong dan takut kerana wujud banyak undang-undang dan peraturan bersangkutan
hak bersuara dan menyatakan perasaan, pastinya saya sudah lama berhenti menulis
atau saya didenda dan dipenjarakan kerana menyuarakan pendapat.
Tetapi kalau kita faham
undang-undang dan tahu cara-cara memaksimumkan hak serta kebebasan kita, kita
masih boleh menulis dan bersuara tanpa terperangkap. Banyak cara boleh kita
gunakan untuk mengelak daripada terjebak.
Sedikit sebanyak saya perpegang
kepada ungkapan Inggeris “there are many ways of skinning a cat” (ada banyak
cara melapah kucing).
Maksudnya, ada banyak
cara bagi kita melepaskan diri daripada kongkongan undang-undang tanpa melanggarnya.
Hal ini banyak bergantung kepada kedalaman ilmu, kecerdasan minda dan
pengalaman kita.
Kebenaran Pasti Muncul
Pengalaman saya mengatakan
bahawa kebenaran (truth) tidak boleh disekat oleh mana-mana undang-undang dan
pihak berkuasa. Ia akan menyerlah akhirnya.
Cuma pihak yang cuba
menyembunyikan kebenaran akan terus berdalih dan berbohong sehinggalah
pembohongan mereka menjadi perangkap maut bagi mereka.
Ambil contoh penafian
mengenai skandal 1MDB. Setelah sekian lama diuar-uarkan sebagai berjaya, untung dan
lestari oleh pemerintah dan agen-agen propagandanya, akhirnya kebenaran menjelma.
Pada 23 Januari lalu, Perdana
Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan
Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak sendiri mengakui kegagalan 1MDB dan berkata
ada sebab sah untuk berasa bimbang mengenainya.
“Sekarang, saya tidak akan menafikan isu ini. Memang
berlaku kegagalan dalam syarikat itu, kelemahan tadbir urus,” katanya kepada
kira-kira 1,000 hadirin di persidangan Invest Malaysia 2018. (Baca di sini).
Kesimpulannya,
saya memilih
untuk melihat Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar ini secara
falsafah, iaitu Parlimen yang dikuasai, buat masa ini, oleh Barisan
Nasional boleh melulus
atau memansuhkan apa saja undang-undang dan peraturan tetapi ia tidak
boleh membenamkan
kebenaran dan menyekat hak asasi manusia.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.