KUALA LUMPUR: Ahli PPBM Selangor, mempersoalkan ketulenan beberapa
dokumen yang didakwa diserahkan parti itu kepada Jabatan Pendaftar
Pertubuhan (RoS).
Ahli PPBM Gombak, Mohd Azimin Muhamad, mendakwa mereka mengesyaki
dokumen membabitkan mesyuarat cawangan dan bahagian yang diserahkan
kepada RoS pada Khamis lalu, adalah palsu.
Beliau berkata, tidak mungkin kepemimpinan parti itu boleh menyiapkan
dokumen terbabit memandangkan PPBM tidak pernah mengadakan mesyuarat di
peringkat bahagian dan cawangan, lapor BH.
"Kami tidak pasti mengenai (ketulenan) laporan kewangan, tapi jika
membabitkan laporan mesyuarat cawangan serta bahagian, itu kami sangat
tahu.
"Mana ada mesyuarat di cawangan dan bahagian. Bukan saja di Selangor,
rakan kami di Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan juga menyatakan mereka
tidak pernah hadir dalam mana-mana mesyuarat PPBM.
"Jadi, laporan apa yang dihantar kepada RoS? Saya percaya ini satu
bentuk penipuan kepada RoS dan pengkhianatan kepada ahli PPBM seluruh
negara," katanya pada sidang media di sini, hari ini, yang turut
dihadiri ahli PPBM Shah Alam, Tanjong Karang dan Sepang.
Kelmarin, PPBM dalam kenyataannya, berkata parti itu sudah menyerahkan
dokumen membabitkan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta
penyata kewangan parti seperti yang dituntut RoS pada Khamis lalu jam
2.45 petang.
Pada 16 Mac lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui
parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut
ROS, iaitu laporan mesyuarat bahagian dan cawangan kerana ia belum dan
tidak dapat dilaksanakan.
Mohd Azimin berkata, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md
Salleh dan Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya, perlu memberi
penjelasan berhubung perkara itu.
"Pada kami, ini satu manipulasi fakta mesyuarat, pemalsuan minit
mesyuarat cawangan dan bahagian serta jenayah kerana menipu jabatan
kerajaan.
"Jika ini pembohongan, pasti RoS akan mengambil tindakan serius
terhadap PPBM. Jika sesuatu terjadi pada parti, adakah kami (ahli) akan
jadi peminta simpati atau sedekah kepada parti lain dalam Pakatan
Harapan?
"Adakah kami akan menumpang DAP atau PKR? Kami ahli PPBM, bukan peminta sedekah," katanya.
Sehubungan itu, katanya, ahli parti digesa membuat laporan polis
berhubung perkara itu, dan dia sendiri akan membuat laporan polis,
Selasa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.