Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Tidak mustahil parti komponen Pakatan Rakyat (PH) akan
bertanding sesama mereka di DUN Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14), kata Ketua Umno Bahagian Selayang, Datuk Abdul Shukur Idrus.
Ujarnya, kegagalan PH Selangor memuktamadkan agihan kerusi selain
percanggahan kenyataan sesama mereka membayangkan rundingan itu mustahil
untuk diselesaikan.
“Kita di peringkat Barisan Nasional (BN) kita menunggu (dan lihat) dan
kita tidak merasakan muafakat mereka ini tidak akan berlaku. Akhirnya
mereka sendiri (parti komponen) akan bertanding antara satu sama lain.
“Saya dimaklumkan memang tidak ada satu muafakat dibuat sehingga hari
ini oleh parti-parti pakatan ini. Masing-masing begitu teruja nak
bertanding dan merasakan mereka akan terus memerintah di Selangor ini.
Maka itu, mereka berebut antara satu sama lain untuk menjadi calon,”
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Bukan hanya di Selangor, PH di beberapa negeri sebelum ini dilaporkan
gagal dalam rundingan agih kerusi dan memaksa PH Pusat mengambil
alihnya.
Malah rakyat serta penyokong PH dikejutkan dengan beberapa insiden
seperti Amanah Johor memulaukan Konvensyen kedua PH di Shah Alam
baru-baru ini kerana membantah agihan kerusi Parlimen yang diterimanya.
Malah Konvensyen PH Negeri Sembilan menyaksikan ahli akar umbi PPBM
mengamuk berikutan tidak berpuas hati dengan agihan kerusi.
Di Selangor sendiri, pemimpin empat parti saling berbalas kenyataan berhubung agih kerusi.
Semua perkembangan itu ujar Shukur semakin membuka mata rakyat bahawa
PH kini dibelit perbalahan dalaman hanya kerana berebut kerusi dan mahu
menjadi calon PRU14.
“Mereka hari ini begitu teruja nak jadi calon kerana mereka terlalu
yakin bahawa mereka akan terus memimpin Selangor ini. Walaupun
sebenarnya rakyat dah pun melihat perbalahan mereka.
“Apa pun kita sama-sama lihat dan rakyat boleh nilai kalau dalam nak
menentukan calon pun begini rupa. Apatah lagi mereka nak meneruskan
pemerintahan di Selangor ini,” tambahnya.
Semalam, Pengerusi Amanah Selangor Ir. Izham Hashim memaklumkan kepada
Antarapos, rundingan berkenaan kini diambil alih PH Pusat dan dijangka
diselesaikan pada minggu depan.
Namun ia dinafikan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor, Dr
Xavier Jeyakumar dan mendakwa rundingan berkenaan masih berjalan di
peringkat negeri.
Kerusi yang menjadi pertikaian hangat parti komponen PH Selangor adalah 12 kerusi yang dimenangi BN dan 13 kerusi milik PAS.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.