SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan
kerajaan negeri memuktamadkan proses penstrukturan semula industri
perkhidmatan air bersama Kerajaan Persekutuan.
Titah baginda, kerjasama kedua-dua peringkat pentadbiran itu penting bagi menjamin kepentingan negeri dan rakyat Selangor.
"Kuasa adalah satu amanah, untuk memenuhi aspirasi rakyat. Tatkala
beta bertitah di Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Sidang Dewan
Undangan Negeri (DUN) pada tahun lalu, beta menitahkan supaya semua
pihak mengambil sikap yang bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan isu
air di negeri ini.
"Beta berharap isu air yang membabitkan kepentingan rakyat ini dapat
diatasi dengan segera," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal
Keenam Sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.
Sultan Selangor turut berkenan dengan hasrat kerajaan negeri dan Air
Selangor untuk menjamin kelestarian bekalan air di negeri ini serta
memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan untuk rakyat.
"Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah pembinaan Loji Rawatan
Air Semenyih 2, yang menelan belanja sebanyak RM 177 juta telah mula
beroperasi pada 1 Mac 2018, dengan kapasiti tambahan 100 juta liter
sehari.
"Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dijangka siap pada
hujung tahun ini dengan kapasiti 200 juta liter sehari, menelan kos
sebanyak RM 497 juta.
"Negeri beta akan menikmati tambahan bekalan air bersih sebanyak 300 juta liter sehari dalam tahun 2018," titah baginda.
Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, rizab air terawat yang kini pada
tahap 3.99 peratus akan ditingkatkan kepada 11.82 peratus pada 1 Januari
2019 selepas beroperasinya Loji Rawatan Air Labohan Dagang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.