KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Massa (MRT) memerlukan jangkauan
sekurang-kurangnya 250,000 penumpang sehari untuk mencatat pulangan
modal, kata timbalan menteri kewangan Datuk Othman Aziz.
Bagaimanapun, jelasnya projek MRT merupakan projek jangka panjang dan
bukanlah sebuah projek yang boleh memperoleh pulangan pelaburan dan
pulangan modal dalam masa yang singkat.
“Setakat ini, kita telah pun mencapai antara 130,000 hingga 140,000
penumpang sehari. Kita menjangkakan, apabila projek MRT, projek
perumahan dan komersial telah siap sepenuhnya, kita akan dapat mencapai
hasrat dan sasaran untuk ‘breakeven’ (mencatat pulangan modal).
“Ketika ini, terdapat enam stesen yang belum diguna pakai sepenuhnya
iaitu Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kampung Selamat, Sungai Buloh, TRX
dan Merdeka 118 kerana projek-projek tersebut masih belum siap
sepenuhnya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang
ingin tahu punca pendapatan MRT untuk menanggung kos keseluruhan projek
pembinaan MRT.
Othman turut menjelaskan bahawa kos keseluruhan projek pembinaan MRT laluan 1, 2 dan 3 mencecah sehingga RM100 bilion.
Mengenai tujuan pembiayaan projek tersebut, beliau berkata: “Kita telah
menggunakan pinjaman sukuk dalam tempoh antara tujuh hingga 30 tahun
dengan kadar antara 3.62 peratus hingga 5.51 peratus.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.