Khamis, 1 Mac 2018

Pertembungan PAS-Amanah dan gerakan Islam di Malaysia



 
Oleh Zin Mahmud

Serangan politik yang diterima PAS umumnya lebih banyak datang daripada penyokong Amanah berbanding pihak lain. Begitu juga serangan dilakukan PAS adalah lebih banyak ditujukan kepada Amanah berbanding kepada parti lain.

PAS adalah sebuah parti pembangkang yang musuh tradisinya adalah Umno. Dari awal penubuhannya pada 1951, pesaingnya adalah Umno walaupun ia lahir sebagai pecahan parti itu.

Pertembungan PAS-Umno berlaku dari tahun 1951 hingga 1973 apabila parti itu menubuhkan kerajaan campuran dengan Perikatan yang diketuai Umno diikuti dengan penyertaannya ke dalam Barisan Nasional (BN). Serangan di antara PAS dan Umno tercetus semula apabila parti itu keluar daripada BN.

Ia berterusan sehinggalah apabila PAS menghentikan kerjasama dengan DAP diikuti dengan pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015. Hubungan PAS dengan Umno menjadi mesra dan akhirnya disifatkan oleh pemimpinnya sebagai berbentuk kerjasama.

Sejak itu, serangan PAS terhadap Umno berkurangan, sebaliknya ia beralih arah kepada parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya Amanah. Parti pecahan ini menjadi sasaran utamanya walaupun anggotanya itu dahulu adalah rakan seperjuangan mereka.

Amanah disifatkan oleh sebahagian daripada penyokong PAS sebagai pengkhianat kerana keluar parti dan menentang mereka. Mereka yang kekal dalam PAS dianggap sebagai beristiqamah. Terdapat program yang dilancarkan oleh PAS selepas penubuhan Amanah yang dinamakan Fastaqim, bermakna beristiqamah sehingga mencapai kemenangan.

Sejak perpecahan itu, ada kalangan PAS menegaskan diri mereka sebagai parti Islam dan kerajaan negeri Kelantan sebagai kerajaan Islam. Penegasan ini juga memberi implikasi bahawa PAS adalah parti Islam dan siapa yang menentangnya adalah menentang parti Islam dan gerakan Islam. Begitu juga, sesiapa yang menentang kerajaan Kelantan, maka mereka adalah penentang kerajaan Islam.

Besar implikasi apabila seseorang atau sesuatu kumpulan dikatakan sebagai penentang parti Islam, gerakan Islam dan kerajaan Islam. Ia bermakna menentang Islam.

Keadaan ini berasaskan kepada fahaman politik bahawa hanya PAS adalah parti Islam, yang lain bukan parti Islam. Kerajaan yang dipimpin oleh parti Islam adalah kerajaan Islam, sementara kerajaan yang ditadbir oleh parti lain adalah bukan kerajaan Islam. Perkara ini tidak disebut secara nyata, tetapi itulah pemahamannya.

Penyokong Amanah membantah pemahaman begini. Mereka berkata Amanah juga adalah parti Islam. Lebih-lebih lagi para ahlinya adalah bekas ahli PAS. Mereka keluar PAS kerana tidak setuju tindakan parti itu yang meruntuhkan kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Perbezaan pendirian ini bukan dari segi menentang fahaman politik Islam tetapi perbezaan kaedah perjuangan. Walaupun hakikatnya perbezaan kaedah politik berpunca dari perbezaan fahaman politik, walaupun pada peringkat cabang dan bukannya teras.

Bagi penyokong Amanah, mereka tidak mengkhianati perjuangan PAS, sebaliknya merekalah yang istiqamah. Ini kerana PAS yang dipimpin presiden sebelumnya, Datuk Fadzil Nor, dan juga dipandu oleh Mursyidul Am sebelumnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menetapkan kerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menentang BN. Maka fahaman bekerjasama inilah yang disifatkan sebagai dikhianati oleh PAS sekarang ini.

Bagi pendokong Amanah, parti mereka adalah penerus perjuangan yang dilakarkan pemimpin PAS terdahulu khususnya Fadzil dan Nik Aziz. Amanah terus menentang Umno dan BN sementara PAS kini sudah bekerjasama dengan mereka.

Ketika mana ada penyokong PAS yang beranggapan bahawa terdapat hanya satu parti Islam yang patut disokong oleh umat Islam, bagi penyokong Amanah pula, parti Islam tidak semestinya ada satu.

Dengan tidak menafikan PAS adalah sebuah parti Islam, mereka juga menganggap diri mereka sebuah parti Islam. Maka menentang kerajaan pimpinan PAS tidak bererti menentang kerajaan Islam.

Amanah juga memperjuangkan penubuhan kerajaan Islam, walaupun pendekatan pentadbirannya adalah berbeza. Jika Amanah menubuhkan kerajaan, maka ia juga adalah kerajaan Islam.

Parti Islam, parti Muslim

Walaupun tidak disebut, pemahaman mengenai parti Islam oleh PAS dan Amanah adalah berbeza daripada apa yang dipegang oleh parti orang Islam atau parti Muslim semata-mata.

Parti Islam ditakrifkan sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam. Sementara parti Muslim adalah parti politik yang dipimpin oleh orang Islam dan kebanyakan ahlinya adalah orang Islam.
Maka PAS, Amanah, PKR, Umno dan PPBM adalah parti Muslim. Tetapi bagi sebahagian orang, PAS dan Amanah boleh disebut sebagai parti Islam. Seperti juga Berjasa dan Hamim.

Tetapi PKR, PPBM dan Umno tidak boleh disebut sebagai parti Islam. Mereka adalah parti Muslim sahaja. Ini kerana PPBM dan Umno meletakkan landasan nasionalisme Melayu sebagai asas perjuangannya. Sementara PKR mempunyai landasan demokrasi dan liberalisme. Malah ada pemimpinnya yang menyifatkan diri mereka sebagai “Muslim democrat”. Sementara ada orang Amanah menyebut diri mereka sebagai “Islamic democrat” untuk membezakan diri mereka dengan PKR dan PAS.

Namun bagi PKR, PPBM dan Umno, mereka turut memperjuangkan Islam walaupun mereka berbeza fahaman politik keagamaan dengan PAS dan Amanah.

Bagi mereka fahaman nasionalisme Melayu dan demokrasi tidak bercanggah dengan Islam. Maka kesemua parti Muslim adalah memperjuangkan Islam walaupun dengan kaedah dan personaliti pemimpin yang berbeza.

Gerakan Islam dan parti Islam

Di sini perlu dilihat juga konsep gerakan Islam yang mana parti-parti Islam dianggap sebagai wadah politik untuknya.

Konsep gerakan Islam yang diberikan tafsiran khusus menjadi popular pada lewat 1970-an dengan suasana global yang dipanggil kebangkitan Islam pada tahun 1979.

Bukan bermakna sebelum itu tidak ada gerakan Islam. Konsep gerakan Islam dilihat sebagai usaha kumpulan Islam untuk memulihkan pemerintahan Islam selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah. Maka ia dikira bermula dengan gerakan pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani.

Kemudian ia ditandai dengan penubuhan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di India dan Masyumi di Indonesia.

Di Malaya pula ialah Hizbul Muslimin yang turut bergabung dalam Pusat Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Tetapi konsep gerakan Islam yang diulas secara tersusun hanya dilakukan oleh Dr Kalim Siddiqui dari Muslim Institute, London, selepas Revolusi Iran.

Gerakan Islam di Iran dipimpin Ayatullah Khomeini yang menghasilkan Revolusi Islam dan menubuhkan Negara Islam dan Kerajaan Islam. Gerakan Islam boleh muncul dalam pelbagai bentuk sama ada parti politik atau pertubuhan rakyat dan orang ramai.

Bentuk perjuangan juga boleh pelbagai dan negara serta kerajaan Islam yang hendak ditubuhkan juga beragam. Tetapi ciri keislaman itu adalah nyata, paling ketara ialah keadilan dan kebajikan rakyat.

Pada awal 1980-an di Malaysia, pertubuhan-pertubuhan Islam seperti PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Arqam, Islamic Representative Council (IRC) dan Suara Islam dilihat sebagai sebahagian daripada gerakan Islam ini. Pada masa itu suasana masih bebas kerana belum ada lagi ancaman keganasan.

Setelah 30 tahun berlalu tentu pemahaman terhadap gerakan Islam sudah berubah. Iran juga tidak seindah dahulu. Ancaman keganasan Al-Qaeda dan Daesh menimbulkan persoalan terhadap gerakan Islam.

Perkembangan di Turki dan kegagalan Arab Spring dan Ikhwanul Muslimin juga memerlukan pemahaman semula terhadap gerakan Islam.

Di Malaysia, pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah bukan suatu yang boleh dijadikan contoh. Kehadiran Abim dan pertubuhan Islam baharu seperti Pertubuhan Ikram Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Islamic Renaissance Front (IRF) mewarnai pemikiran dan kegiatan aktivisme Islam kini.

Kesemua mereka termasuk PAS dan Amanah adalah sebahagian daripada gerakan Islam. Daripada pengalaman dan perubahan generasi tentunya keadaannya sudah berbeza. Malah pemahaman apakah itu gerakan Islam, parti Islam, Negara Islam dan kerajaan Islam juga sudah berubah.

Mungkin konsep-konsep itu sudah tidak relevan. Apa yang relevan adalah sama ada perjuangan mereka menghasilkan keadilan dan kebajikan rakyat serta perikemanusiaan sejagat.'

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.