ARAU: Tindakan penyokong dan pentaksub Tun Dr Mahathir Mohamad
menyerang peribadi serta memperlekeh Pengarah Pusat Kajian Politik
Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusof
yang dikatakan 'terkucil' ketika bekas perdana menteri itu muncul dalam
sebuah forum kelmarin disifatkan sebagai keterlaluan.
Dalam masa sama, Exco Pemuda Umno, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya juga
melihat wacana yang dianjurkan Sinar Harian itu hanyalah bertujuan
untuk mempromosikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) diketuai DAP itu
semata-mata.
Katanya, sepanjang wacana tersebut berlangsung, beliau tidak melihat
Kamarul Zaman mengeluarkan perkataan berbentuk mencela atau mengeji Dr
Mahathir sebaliknya ahli akademik berkenaan memberikan pandangan dan
hujah yang bernas mengenai kekangan usia calon Perdana Menteri sementara
PH itu.
“Kamarul Zaman telah memberi hujah dan pandangan yang bernas berdasarkan pembuktian, jadi apa masalahnya?.
“Kalau tidak boleh terima (penyokong Dr Mahathir) janganlah sampai ke
tahap memperlekeh dan menghina seseorang itu,” katanya dipetik Utusan
Malaysia.
Keberanian Kamarul Zaman membuka fakta mengenai kemampuan PPPBM untuk
menjadi perdana menteri pada usia 93 tahun dalam sebuah forum kelmarin
telah mencuri perhatian dalam media sosial.
Meskipun terdapat golongan yang mencerca Kamarul Zaman menerusi laman
media sosial namun banyak juga persoalan ditimbulkan mengenai faktor
usia calon Perdana Menteri PH berikutan hampir mencecah satu abad.
Kamarul Zaman ketika forum tersebut menggariskan 10 kayu ukur untuk
menentukan kemampuan Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada usia 93
tahun, iaitu perundangan, fizikal, genetik, mental, psikologi, moral,
demografik, intelektual, falsafah dan semangat.
Menurut Kamarul Zaman, Dr Mahathir hanya berkemampuan dalam satu aspek, iaitu perundangan.
Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, beliau tidak melihat Kamarul
Zaman takut ketika berhadapan dengan Dr Mahathir dalam forum berkenaan
sebaliknya pensyarah tersebut terus konsisten memberikan idea dan
pandangan bernas sebagai seorang ahli akademik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.