Rabu, 28 Mac 2018

Manfaat RM19 juta, mini stadium untuk warga MPAJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD




SHAH ALAM: Pembangunan dan fasiliti di Stadium Majlis Perbandaran Ampng Jaya (MPAJ) kini sudah mendapat 95 peratus proses pembinaannya.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, ia akan dibuka kepada orang awam, Julai ini.

“Ini merupakan kebanggaan MPAJ kerana setelah 25 tahun, MPAJ telah mampu mempunyai Stadium sendiri,” katanya.

Stadium bernilai RM19 juta sedia dijadikan gelanggang kejohanan profesional apabila menerima sijil pengiktirafan badan induk bola sepak, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ia dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyediaan tempat duduknya yang boleh memuatkan 1,010 penonton tetapi kapasiti penuh boleh mencecah kira-kira 5,000 penonton pada satu masa.

Selain itu mini stadium ini juga dilengkapi permukaan balapan berteknologi terkini dan kemudahan asas lain seperti bilik persalinan, bilik rawatan, persediaan media, ruang VVIP, tandas dan lain-lain.

Ciri istimewa lain yang terdapat di stadium itu termasuklah sistem pencahayaan menggunakan lampu LED dengan bacaan pencahayaan 2,000 lux berbanding syarat minimum bagi perlawanan Liga Malaysia yang memerlukan 1,200 lux.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata MPAJ konsisten melaksanakan pembangunan fasiliti lain seperti Pasar yang mana empat pasar iaitu Pasar Kuala Ampang, Pasar Tasek Tambahan, Pasar Pandan Jaya, dan Pasar Pekan Ampang juga akan menyaksikan pembaharuan setelah siap dinaiktarafkan.

“Selain proses pembangunan lain, MPAJ sedang menyiapkan pembinaan dewan iaitu Dewan Ampang Indah, Dewan Kampung Perwira Jaya dan Dewan Khairat Kematian di Jalan Enggang.

“MPAJ percaya jika pembangunan ini berjalan lancar, operasinya akan terus memberikan manfaat kepada warga komuniti di perbandaran Ampang Jaya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.