Sabtu, 24 Mac 2018

Laporan PAC tak sebut yang saya curi wang 1MDB, kata Najib

Laporan PAC tak sebut yang saya curi wang 1MDB, kata Najib
Apabila tuan bertanyakan tentang laporan itu, adakah mana-mana ayat di dalamnya yang mengatakan saya mencuri duit 1MDB, jawapannya tidak ada. Adakah di dalamnya mengatakan yang saya buat salah? Jawapannya tiada. Adakah wang yang datang dari Arab Saudi adalah wang 1MDB? Sudah tentu tidak, kata Najib Razak malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli
 
MALAM ini Perdana Menteri Najib Razak mempertahankan dirinya daripada serangan pengkritik berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan mengatakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam skandal kewangan rentas negara itu.

Beliau mengatakan demikian ketika menjawab soalan diberikan Penasihat kepada Perdana Menteri untuk Program Transformasi Negara (NTP) Idris Jala dalam sesi soal jawab di sebuah program NTP di Kuala Lumpur.

Menjelaskan isu 1MDB, Najib mengatakan dana pelaburan kerajaan itu adalah syarikat yang paling banyak kali disiasat dalam sejarah Malaysia.

“Apabila isu itu ditimbulkan, saya arahkan 1MDB disiasat oleh PAC, Jabatan Audit Negara dan polis. Dalam PAC, ada wakil pembangkang seperti Tan Seng Giaw dan Tony Pua daripada DAP dan laporan itu telah disediakan dan dibentangkan. Ia juga dimuat naik ke internet. Ada 106 muka surat semuanya.

“Apabila tuan bertanyakan tentang laporan itu, adakah mana-mana ayat di dalamnya yang mengatakan saya mencuri duit 1MDB, jawapannya tidak ada. Adakah di dalamnya mengatakan yang saya buat salah? Jawapannya tiada. Adakah wang yang datang dari Arab Saudi adalah wang 1MDB? Sudah tentu tidak,” kata Najib.

Beliau menambah yang laporan itu juga menyimpulkan yang beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

1MDB menjadi tumpuan siasatan banyak pihak termasuklah kerajaan Switzerland dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) atas dakwaan berbilion ringgit dicuri daripada dana pelaburan kerajaan Malaysia itu.

Najib berulang kali menafikan beliau menjadi dalang skandal itu.

Menjelaskan dengan lebih lanjut kepada hadirin, Najib berkata laporan PAC membuat kesimpulan yang 1MDB mempunyai asas perniagaan yang rapuh kerana ia hanya menerima dana suntikan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan.

“1MDB mempunyai program besar dan meminjam RM42 bilion dengan faedah 5% iaitu RM2 bilion faedah yang perlu dibayar dalam setahun. Masalah awal adalah kegagalan menyenaraikan Edra (Energy) kerana isu 1MDB dipolitikkan. Mereka (pihak yang mempolitikkan) kata yang RM42 bilion hilang dan kerana itu ia tidak boleh mengeluarkan IPO (Initial Public Offering) dan kerana itu 1MDB berdepan masalah aliran tunai,” kata Najib lagi.

Disebabkan itu, kerajaan mula bertindak untuk membantu 1MDB.

“TRX (Tun Razak Exchange) ada bangunan Mulia Tower yang lebih tinggi berbanding KLCC, dijangka disiapkan pada Ogos. Bandar Malaysia ada dua stesyen MRT, tanah 500 ekar yang akan dibangunkan. Aset tersebut akan kami gunakan untuk dapat wang dan selesaikan pinjaman 1MDB,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.