Roketkini.com
Beberapa siri rampasan aset dan dana melibatkan syarikat 1MDB oleh pihak berkuasa antarabangsa menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai penyelewengan syarikat milik kerajaan Malaysia itu.
Sebelum ini media antarabangsa The Swiss mendedahkan sebanyak RM400 juta wang berkaitan 1MDB yang dirampas pihak berkuasa negara itu pada November tahun lalu mungkin akan diserap kerajaan Switzerland kerana tiada pihak yang menuntutnya.
Persoalannya kini, mengapa Kerajaan Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan supaya wang tersebut dikembalikan oleh kerajaan Switzerland.
Persoalan tersebut ditimbulkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
“Soalan terbesar untuk Datuk Seri Najib Razak jawab ialah kenapa kerajaan Malaysia masih belum mengambil sebarang langkah untuk mendapatkan semula wang yang dirampas tersebut?
“Atau sekurang-kurangnya, adakah Perdana Menteri cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa Swiss untuk mengesahkan bahawa rampasan RM400 juta itu merupakan wang yang dicuri daripada dana 1MDB?” soal Tony.
Menurutnya, segala persoalan ini perlu dijawab memandangkan ianya melibatkan aset yang dicuri atau diubah dari 1MDB.
Terkini, pihak berkuasa Indonesia berjaya merampas kapal layar Equanimity milik Jho Low bernilai US$260 juta (RM1 bilion) yang didakwa diperolehi menggunakan dana terkait 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ).
Kapal layar ini merupakan salah satu daripada aset berjumlah US$1.7 bilion yang hendak disita oleh DOJ menerusi Kleptocracy Asset Recovery Initiative membabitkan 1MDB.
“Adakah kita akan membiarkan Amerika Syarikat meneruskan rampasan aset-aset ini yang bernilai hampir RM7 bilion tanpa berbuat apa-apa?
“Atau, adakah Perdana Menteri berasa sangat malu kerana telah banyak wang yang dicuri dan diubah dari 1MDB sehingga beliau tidak berani meminta dana ini dipulangkan?
“Adakah Najib meminta kawan baiknya Donald Trump supaya dana ini dikembalikan kepada 1MDB dan boleh membayar keseluruhan RM40 bilion hutangnya?
“Atau, adakah beliau sangat bermurah hati menjanjikan dana tersebut sebagaimana yang beliau pernah lakukan bagi pihak KWSP dan Khazanah untuk membuat pelaburan bagi memulihkan ekonomi Amerika Syarikat,” soalnya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.