Selasa, 27 Mac 2018

Anis Afida dicanang calon Parit Sulong



Anis Afida dicanang calon Parit Sulong


Ketua Wanita Muda Amanah (Warda) Anis Afida dicanang sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Parit Sulong.

Hal ini telah disuarakan dalam satu program sembang santai yang dianjurkan di kedai makan Ami di Parit Lapis Warijo, Parit Sulong Johor.

Dalam program itu, Pengerusi Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Sulong Omar Salleh,72, telah menyebut Anis Afida sebagai calon di parlimen ini.


Omar Salleh

“Calon wanita yang hadir di parlimen ini adalah suatu langkah yang positif dan Puan Anis Afida adalah yang terbaik.

“Di sini ada dua Dewan Undangan Negeri (Dun) yakni Semerah dan Sri Medan. Sri Medan adalah Dun penentu bagi kemenangan di parlimen Parit Sulong ini.

“Dalam ceramah Tun Mahathir yang lalu, ia telah membuktikan gelombang rakyat itu wujud dan PH perlu mempertingkatkan usaha mendekati pengundi dengan lebih lagi di sini,” ujar beliau.

Beliau yang merupakan barisan hadapan sewaktu dalam Umno di Parit Sulong selama 44 tahun itu mengharap akan ada suatu kekuatan wujud dengan adanya calon-calon kaliber dari PH di parlimen Parit Sulong dan Dun di bawahnya.


Program sembang santai di kalangan pngundi yang diadakan di Parit Lapis Warijo, Parit Sulong baru-baru ini.

Parit Sulong sebelum ini merupakan kubu kuat Umno sebelum ini di mana Ahli Parlimen BN Datuk Noraini Ahmad menang dengan majoriti 11,753 undi.

Sementara itu, Dun Sri Medan sebelum ini dimenangi calon Umno Datuk Zulkarnain Kamisan dengan majoriti 9,430 undi.

Anis Afida sebelum ini adalah calon Pas di Dun Penawar dan beliau merupakan aktivis yang banyak memperjuangkan isu-isu alam sekitar khususnya di kawasan Pengerang serta yang terkini adalah berkenaan dengan pembinaan tapak pembuangan sampah di Bukit Payong.

Program sembang santai itu turut dihadiri oleh Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong, Md Ysahrudin Kusni, Setiausaha Organisasi AMANAH, Suhaizan Kaiat dan program tertutup itu dihadiri oleh seramai 50 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.