Ahad, 25 Mac 2018

30 tahun ‘terabai’, MB salur RM7,000 pesara tentera DUN Paya Jaras

OLEH ERMIZI MUHAMAD

 


SUNGAI BULOH: Prihatin terhadap jasa bakti perajurit tanah air yang berjuang mempertahankan kemerdekaan negara, Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan kepada pesara tentera, Khairuddin Abu Omar, 64.

Bantuan RM7,000 disalurkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di bawah peruntukan RM1 juta, sebagaimana pernah diumumkan pentadbiran negeri pada Oktober, tahun lalu.

“Bantuan seperti ini sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu, dengan peruntukan khas untuk menjaga kebajikan veteran tentera dengan jumlah peruntukan RM1 juta.

“Daripada jumlah itu, RM500,000 disumbangkan kepada Tabung Pahlawan Negeri sementara lainnya digunakan untuk tujuan pemberian bantuan turun padang.



“Sudah tentu Kerajaan Negeri merasakan menjadi tanggungjawab kami melihat kebajikan golongan ini terpelihara kerana ramai penjawat awam dan bekas tentera menetap di Selangor,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin ditemui media selepas hadir turun padang menyerahkan bantuan kepada bekas perajurit itu di kediaman Khairuddin Abu Omar di Paya Jaras.

Sementara itu, bagi Khairuddin Abu Omar, beliau yang menamatkan perkhidmatannya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sangat menyambut baik inisiatif Selangor dalam mengangkat kebajikan golongan itu.

Beliau berkata, inisiatif sama perlu dilaksanakan di peringkat Persekutuan bagi menjamin kesejahteraan golongan itu, lebih-lebih lagi kepada anggota yang mengalami kecederaan kekal akibat peperangan.

“Sudah 30 tahun saya bersara, akhirnya pengorbanan kami dihargai. Walaupun tidak pernah menerima manfaat serupa di peringkat Persekutuan, namun saya cukup berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar.

“Walaupun sibuk, beliau sanggup turun padang dan menyerahkan bantuan itu sendiri kepada saya.

“Sedikit sebanyak bantuan ini akan digunakan untuk meneruskan kehidupan saya sebagi pesara tentera,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.