SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri
Selangor berjaya mengenepikan saman sebanyak RM14 bilion oleh Puncak
Niaga Holdings Bhd.
Permohonan itu dibenarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, ekoran
Puncak Niaga membuat tuntutan berhubung penstrukturan semula industri
air di Selangor.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati
pernyataan tuntutan Puncak Niaga adalah cacat dan tidak teratur serta
bercanggah antara satu sama lain.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya Abdul Khalid, Mohamed
Azmin dan kerajaan negeri yang dinamakan sebagai defendan dibayar kos
RM25,000 setiap defendan oleh Puncak Niaga.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk membuat keputusan
berhubung tuntutan balas Mohamed Azmin terhadap Puncak Niaga.
Pada 22 November lalu, Puncak Niaga mendakwa dalam proses
pengambilalihan itu, Azmin dan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim sebagai bekas
menteri besar telah menyalahgunakan kuasa mereka, dengan memaksa
kerajaan pusat menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air.
Syarikat konsesi air itu juga menerusi kenyataan dalam Bursa Malaysia
semalam mendakwa kerajaan negeri 'bertanggungjawab di atas tindakan
Khalid dan Azmin'.
Menerusi saman itu, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi
dan perbezaan kos antara penilaian PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali
sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn
Bhd (SYABAS) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion dan pertimbangan
pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham
bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor
Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.