KUCHING: Mahkamah Persekutuan di Kuching dijadual membuat keputusan
penting esok sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa
berhubung soal murtad.
Terdahulu hari ini, Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan daripada
peguam berhubung persoalan sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai
kuasa sedemikian apabila ini tidak dinyatakan dalam Ordinan Mahkamah
Syariah 2001.
Persoalan itu dibangkitkan oleh empat penduduk di Sarawak yang memohon
perintah mahkamah untuk membatalkan status mereka sebagai penganut Islam
dan memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengiktiraf mereka sebagai
penganut Kristian.
Peguam mereka, Baru Bian memaklumkan di mahkamah bahawa Mahkamah
Syariah Sarawak "tidak dibekalkan kuasa untuk memutuskan kes murtad"
oleh Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001.
Beliau menjelaskan bahawa sekiranya Mahkamah Persekutuan mengesahkan
bahawa Mahkamah Syariah Sarawak tidak mempunyai kuasa sedemikian maka
perkara itu akan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.
"Sekiranya Mahkamah Persekutuan menjawab soalan undang-undang itu dalam
bentuk afirmatif, rayuan akan ditolak dan perayu perlu kembali kepada
Mahkamah Syariah untuk membuat permohonan untuk meninggalkan Islam,"
kata Baru yang dipetik oleh akhbar Borneo Post.
Kemelut ini bermula pada bulan Januari 2015, apabila Mahkamah Tinggi
enggan memberikan kebenaran kepada Syarifah Nooraffyzza Wan Hoosen untuk
memulakan kes bagi membatalkan status agamanya.
Ketika itu, mahkamah menolak permohonan berdasarkan keputusan daripada empat kes sebelumnya.
Susulan itu, tiga orang mualaf - Tiong Choo Ting @ Mohd Syafiq
Abdullah, Salina Jau @ Salina Jau Abdullah dan Jenny Peter @ Nur
Muzdhalifah Abdullah - berdepan keputusan sama pada September tahun itu.
Mahkamah Rayuan kemudian mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes yang dibawa oleh tiga orang mualaf itu tahun lalu.
Berikutan ini, mereka bersama-sama meminta tafsiran Mahkamah Persekutuan mengenai Ordinan Mahkamah Syariah 2001.
Empat plaintif itu menamakan pengarah Jabatan Agama Islam Negeri
Sarawak, Majlis Islam Sarawak, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan negeri
sebagai responden.
Panel Mahkamah Persekutuan akan dianggotai oleh lima orang yang terdiri
daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin,
Hakim Besar Hakim Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Tan Sri
Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan dan Tan Sri Ramly Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.