SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan maut selepas kereta yang
dipandunya terbabas selepas bergesel dengan lori milik syarikat
kontraktor yang sedang meroboh Plaza Tol Sungai Rasau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Faisal Nor Azlan, 31,
yang berkerja di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz, dekat sini,
disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan
tangan.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Muhammad Irwani
Nooruldin, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira 1 kilometer dari
plaza tol yang sudah tidak beroperasi itu, di Lebuhraya Persekutuan
menghala ke Kuala Lumpur.
"Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Shah Alam dari arah Klang
dan setibanya di lokasi, mangsa yang dipercayai memandu laju terlanggar
bahagian sisi belakang lori yang ketika itu sedang menjalankan kerja
pemasangan papan tanda.
"Akibat pergeseran itu, kereta mangsa berpusing sehingga ke lorong
paling kiri lebuh raya berkenaan," katanya kepada NSTP di sini, hari
ini.
Tambah beliau, mayat mangsa yang tersepit pada bahagian pemandu berjaya
dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.