KUALA LUMPUR: Tiada perkembangan positif berhubung kehilangan
kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Azmee Alias, sejak 12 Februari
lalu, malah perkara itu membimbangkan ahli keluarga memandangkan isteri
lelaki berkenaan kini sedang sarat mengandung.
Abangnya, Azizi berkata, ahli keluarga mereka bersedih atas kehilangan Azmee,36, kerana dia tiba-tiba menghilangkan diri.
"Keluarga kami masih terkejut akan kehilangannya yang tiba-tiba lesap begitu saja.
"Paling merisaukan saya ialah keadaan isterinya yang kini sedang mengandung," katanya.
Azizi berkata, ahli keluarga mereka bimbang berita kehilangan Azmee
akan menjejaskan kesihatan dan bayi dalam kandungan isterinya.
"Sehingga kini, masih belum ada petanda di mana adik saya berada.
"Saya mohon orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat jika ada
dan berharap Azmee dapat kembali ke pangkuan isteri serta anak-anaknya
dengan selamat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly
Hassan ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan
usaha pencarian masih diteruskan.
Sebelum ini media melaporkan Azmee kali terakhir dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 12 Februari lalu.
Penemuan kenderaan pelbagai guna (MPV) PERODUA Alza milik mangsa dalam
keadaan berkunci dan ditinggalkan di Jalan Jenderam sejak Sabtu lalu
turut menimbul pelbagai tanda tanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.