Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Jika ADUN Barisan Nasional (BN) di Selangor diberi
peruntukan wakil rakyat daripada kerajaan negeri Selangor brmakna ADUN
PAS terlebih layak untuk mendapatkan dana itu.
Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
selepas diminta mengulas perihal 13 ADUN parti itu yang sehingga kini
belum menerima peruntukan daripada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali itu.
“Kalau MB sanggup bagi pada BN (peruntukan). Sepatutnya PAS (dapat)
(kerana) sebahagian daripada Exco di Selangor, sebahagian pentadbiran
kerajaan negeri sepatutnya diberi peruntukan,” ujarnya kepada
Antarapos.
Berbaki lagi tiga hari sebelum Februari melabuhkan tirai, Azmin masih
belum membuat penjelasan mengapa peruntukan wakil rakyat itu masih belum
diagihkan kepada 13 ADUN PAS di negeri itu.
Tindakan kerajaan negeri itu meletakkan ADUN PAS dalam keadaan sukar
apabila terpaksa menggunakan wang sendiri terlebih untuk menjayakan
projek-projek rakyat.
Malah ada yang terpaksa menghentikan sementara projek tersebut kerana kekangan kewangan.
Beberapa ADUN PAS sebelum ini berkata kebiasaannya peruntukan itu
diterima atau boleh dikeluarkan selewat-lewatnya pada penghujung
Januari.
Sehubungan itu, ADUN Sijangkang yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS
Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyifatkan perkembangan ini
sebagai sesuatu yang 'luar biasa'.
Azmin sebelum ini memberitahu kelewatan peruntukan kepada ADUN PAS
adalah bersifat teknikal, namun tidak pula menjelaskan mengapa wakil
rakyat PKR, DAP dan Amanah tidak berdepan dengan masalah itu.
Menteri besar itu maklum bahawa Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen
Mukhyi ingin berjumpa dengannya umtuk bertanyakan isu tersebut, namun
sehingga kini Azmin berdolak-dalih.
Terbaru, Azmin dilaporkan sakit tulang belakang dan perlu melakukan
fisioterapi untuk satu tempoh tertentu yang sekali gus membayangkan isu
peruntukan ADUN PAS ini akan terus berpanjangan.
Tuan Ibrahim yang kesal dengan sikap Azmin itu berharap isu bersabit dana itu dapat diselesaikan segera.
"Saya difahamkan sampai sekarang pun tak dapat lagi dan kita harapkan
kerajaan negeri boleh luluskan sebab ini hak bagi wakil rakyat.
"Jadi sepatutnya tidak timbul ada diskriminasi antara wakil-wakil rakyat yang ada ni,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata sehingga kini isu dana itu belum dibawa ke peringkat PAS Pusat.
Malah beliau juga tidak mempunyai maklumat berhubung PAS Selangor mahu
mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris
Shah bagi menyelesaikan kontroversi ini.
PAS Selangor sebelum ini memberi kata dua kepada Azmin untuk
menyelesaikan isu peruntukan kepada 13 wakil rakyatnya sehingga perayaan
Tahun Baru Cina.
Malah mereka tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membawa isu
peruntukan itu kepengetahuan istana Selangor, jika ia masih gagal
diselesaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.