Ahad, 25 Februari 2018

BR1M dibayar mulai Isnin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diagihkan kepada kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan secara berperingkat mulai Isnin ini.
 
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, pembayaran itu dibuat secara tiga kali ansuran dengan peruntukan dianggarkan RM6.3 bilion.
 
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan BR1M di Pekan, dekat sini esok. Sehari selepas itu, para penerima boleh memeriksa bayaran yang dibuat menerusi akaun mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Bahtera 2018 (Edisi Timur) bertemakan ‘Bumiprenerus of Tomorrow’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
 
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
 
Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
 
Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober tahun lalu, Perdana Menter berkata, kira-kira tujuh juta penerima BR1M akan terus menikmati pemberian kerajaan dengan kadar maksimum sehingga RM1,200 pada tahun ini.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.