Individu yang terkenal dengan kelantangannya bersuara, pensyarah di Universiti Malaya (UM) itu berkata situasi dalam negara sekarang mendesak rakyat meluahkan keluhan mereka terhadap kesalahan asas dalam badan kehakiman dan negara secara keseluruhannya.
“Kalau anda percaya pada sesuatu, anda perlu bersuara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Maksud saya, apa yang pelik sangat bercakap tentang kebebasan badan kehakiman. Apa yang pelik sangat bila kita kata ‘oh kita ada hak untuk kritik kerajaan dalam demokrasi kita’,” kata Azmi.
Azmi, satu-satunya ahli akademik di Malaysia yang pernah didakwa di bawah Akta Hasutan kerana membuat ulasan berkaitan krisis perlembagaan Selangor pada 2014, bertegas bahawa tidak ada yang “dramatik” tentang pandangannya, menambah ia perkara yang betul untuk dilakukan.
Beliau didakwa pada 2 September, 2014 kerana membuat kenyataan berunsur hasutan tetapi kemudian dibebaskan pada 11 Februari, 2016.
Menyedari kebanyakan ahli akademi tidak meluahkan pandangan mereka kerana keadaan politik semasa, Azmi berkata mereka sepatutnya diberikan kebebasan untuk memberikan perspektif dan pandangan, selagi mereka mampu menjustifikasikannya.
“Selama berdekad, kerajaan menanamkan budaya takut kepada semua orang ,” katanya.
Beliau baru-baru ini menjadi perhatian sekali lagi, susulan pandangannya yang menyokong Dr Mahathir Mohamad mungkin menjadi pilihan untuk menyokong kerajaan pemerintah, kerana bekas perdana menteri itu gagal mengubah badan kehakiman.
Azmi yang membesar di Pulau Pinang yakin ahli akademi sepatutnya lebih lantang dalam memastikan pandangan mereka didengar.
Azmi, 49, menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Sheffield, manakala ijazah sarana dari Universiti Nottingham dan kemudian menghabiskan kedoktoran dari School of Oriental and African Studies (SOAS) di Universiti London.
Beliau pensyarah bagi subjek hak asasi manusia, konflik undang-undang dan undang-undang antarabangsa dan alam sekitar di fakulti undang-undang UM.
Berikut sedikit sedutan temu bual bersamanya:
TMI: Bagaimanakah saudara boleh berminat untuk mengajar?
Azmi: Saya datang dari keluarga guru. Bapa saya pensyarah universiti. Ibu saya guru dan pelatih.
Sejumlah besar bapa dan ibu saudara saya pernah menjadi guru. Datuk saya nazir sekolah. Moyang saya ustaz. Saya saya agak ia memang ada dalam darah saya.
Ibu bapa saya sangat menyokong kerana bapa saya juga pensyarah. Nasib baik saya tidak ada ibu bapa yang suruh jadi peguam, boleh dapat duit banyak.
TMI: Apakah yang mendorong saudara meluahkan pandangan?
Azmi: Rasa betul dan salah ada dalam setiap orang. Saya rasa kebanyakan orang ada kesedaran itu sama ada ia betul atau itu salah. Jadi saya tidak fikir ada yang luar biasa tentangnya.
Tidak ada yang dramatik dalam hidup saya. Tetapi secara asasnya, jika anda belajar undang-undang dan ajar undang-undang, anda dapat lihat ada prinsip tertentu yang perlu dipatuhi. Ada perkara tertentu yang perlu kita pegang.
Dan saya percaya perkara itu membuatkan kita sebagai satu masyarakat bertamadun. Dan jika anda lihat perkara itu dimusnahkan, prinsip itu, cita-cita itu, maka anda perlu cakap sesuatu tentangnya kerana jika tidak, apa akan jadi kepada kehidupan kita, masyarakat kita.
Tidak ada yang dramatik di sini. Maksud saya, apa yang pelik tentang kita mengatakan badan kehakiman perlu bebas, contohnya. Tidak ada yang revolusioner tentangnya. Apa yang pelik bila kita kata, kita ada hak untuk kritik kerajaan dalam demokrasi kita. Tidak pelik langsung, kan. Tidak ada apa yang pelik dengan apa yang saya kata atau buat.
TMI: Ada ramai ahli akademi yang tidak meluahkan pandangan mereka. Adakah saudara fikir itu menggambarkan suasana politik di Malaysia?
Azmi: Selama berdekad, kerajaan menanamkan rasa takut dalam setiap orang. Ingat tak pada zaman 80-an, orang kata Cawangan Khas dengar apa kita cakap setiap masa, itu tipu saja.
Masa di kedai kopi, orang cakap sesuatu tentang Dr Mahathir pada zaman itu, dan kemudian ada orang akan kata, “Janganlah, jangan.” Macamlah Cawangan Khas tengah dengar awak bercakap di kedai kopi. Tapi, itulah budaya yang kita ada dulu.
Dan budaya ini juga ada di universiti, di mana orang risau tentang meluahkan pemikiran mereka. Dan ia berlangsung selama berdekad. Dan sudah tentu ada undang-undang yang mengawal kita juga. Ada tindakan boleh diambil terhadap sesiapa jika kuasa besar itu tidak suka dengan anda.
Itu sebabnya kita berada dalam situasi ini, yang teruk, kerana universiti sepatutnya tempat yang selamat. Akademik sepatutnya ada kebebasan untuk memberi perspektif dan pandangan, asalkan pandangan itu boleh dijustifikasikan. Tetapi kita tidak ada itu.
TMI: Adakah saudara bimbang apa mungkin berlaku pada saudara jika terus menyuarakan pandangan?
Azmi: Sudah tentu saya bimbang. Saya ada keluarga. Saya ada pinjaman rumah, kereta. Tetapi ia tentang hak. Maksud saya, jika kita percaya pada sesuatu, kita kena cakap. Macam saya kata, apa yang pelik sangat tentang mahukan kedaulatan undang-undang. Apa yang pelik bila kita kata rasuah itu teruk. Apa yang pelik bila kita kata kerajaan perlu bertanggungjawab.
Apa yang pelik untuk kata semua ini. Apa yang ganjil dan teruk sangat tentang kata rakyat ada hak untuk berhimpun dan bersuara.
TMI: Adakah saudara rasa skandal kewangan seperti 1MDB, masih membimbangkan rakyat atau mereka sudah lupa?
Azmi: Ia bukan memori jangka pendek. Mana-mana jenayah kolar putih, rakyat tidak merasakannya serta-merta. Contohnya, jika saya rompak awak sekarang, awak boleh rasa. Tetapi jika saya buat sesuatu yang menjejaskan simpanan pencen, tidak semestinya awak rasa sekarang, walaupun ia lebih teruk.
Jarang rakyat biasa boleh merasakannya, kesalahan jenis kolar putih seperti ini kerana tidak ada perbicaraan atau tindakan apa pun pada masa ini.
Baca berita penuh di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.