Sejak dunia Islam berdepan dengan cabaran geopolitik dan pemikiran
yang amat getir lebih lima tahun lalu, peranan Naib Ketua Kesatuan Ulama
Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin nyata kelihatan
dan dirasakan kepentingan dan keperluannya.
Kebangkitan rakyat secara besar-besaran di dunia Arab meliputi
rantau Asia Barat dan Afrika Utara menimbulkan harapan dan sentimen
sokongan dan kebersamaan yang kuat dalam kalangan umat Islam dan gerakan
Islam khususnya.
Kebangkitan di Mesir pada 2011, yang membuka kemungkinan kepada
gerakan Ikhwanul Muslimin muncul di tengah-tengah masyarakat dan
menguasai tampuk pemerintahan melalui pilihan raya yang sebenar,
mendorong gerakan-gerakan Islam memberikan sokongan sepenuhnya.
Prospek pemerintahan zalim Presiden Hosni Mubarak dan
pemerintah-pemerintah autoritarian sekular yang lain di rantau Arab
dijatuhkan dan digantikan dengan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin
telah mencetuskan kegembiraan dan harapan yang besar.
Walau bagaimanapun, selepas satu tempoh, kebangkitan yang dilihat
sebagai untuk kepentingan rakyat itu mula memperlihatkan satu haluan
yang berbeza, dan kepentingan rakyat bukan lagi menjadi satu matlamat
utamanya.
Bermula saat itu, Tuan Guru Abdul Hadi telah memperlihatkan
perspektifnya yang berbeza daripada kebanyakan pandangan dan pendapat
berhubung apa yang disebut sebagai kebangkitan rakyat itu.
Hakikat bahawa kuasa-kuasa serantau dan kuasa besar yang
berkepentingan telah memperlihatkan bagaimana agenda mereka mula
dilaksanakan pada masa itu sukar untuk dikenal pasti oleh banyak pihak
termasuk pemimpin gerakan Islam sendiri.
Permainan media menetapkan jalan cerita yang dipersembahkan kepada
masyarakat dunia terutama ahli-ahli gerakan Islam telah mengaburi
pandangan dan menyukarkan usaha penilaian yang rasional.
Kelemahan pemahaman umat tentang kesinambungan sejarah dunia Islam
terutama di rantau Asia Barat telah menjerumuskan umat ke dalam
perangkap yang disusun oleh musuh dan mereka yang bersubahat dengan
mereka.
Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan pendirian agar umat Islam tidak
terperangkap oleh percaturan musuh ini pada awal lagi, iaitu sekitar
tahun 2012 semasa konflik di Syria masih di belum sampai pada tahap yang
disaksikan pada hari ini, pada masa semua pihak terlibat masih boleh
menilai semula pendirian masing-masing.
Sikap teliti dan waspada serta mengutamakan pencegahan terhadap
perpecahan dan mengelak diambil kesempatan oleh musuh oleh Tuan Guru
Abdul Hadi ini ialah sikap yang beliau ambil dalam menilai semua
perkembangan politik dunia Islam, lama sebelum pergolakan yang dikenali
sebagai Arab Spring bermula lima tahun lalu.
Tuan Guru telah berperanan dalam mendamaikan konflik antara
kumpulan umat Islam di Yaman yang bermula pada 2009, dan mengajak
penyatuan politik dalam kalangan parti-parti politik di Indonesia.
Dalam satu tulisan pada awal tahun 2012, Tuan Guru menulis,
menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah keruntuhan kerajaan
Uthmaniyah yang dibenarkan oleh umat Islam sendiri yang terpedaya oleh
perancangan musuh, mengikut sentimen etnik dan kaum masing-masing hingga
akhirnya pemerintah yang menaungi umat pada masa itu berakhir.
Lima tahun sebelum ulangtahun ke-100 kebangkitan Arab dan
perjanjian rahsia Sykes-Picot 1916, Tuan Guru telah mula menyebarkan
tentang pengajaran daripada perpecahan umat itu, yang menyaksikan umat
dieksploit sentimen dan kepentingan masing-masing hingga berperang
sesama sendiri, mengakibatkan perpecahan yang kemudian membawa kepada
pelbagai kemelut lain.
Tanpa menafikan kelemahan pemerintah pada masa itu, tindakan
menentang pemerintah Uthmaniyah sehingga meruntuhkan pemerintahan Islam
itu akhirnya membuka kepada pelbagai akibat yang ditanggung hingga ke
hari ini.
Akibat keruntuhan Daulah Uthmaniyah itu, perancangan musuh melalui
Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan wilayah Islam kepada kuasa
asing terlaksana.
Menurut Tuan Guru, dalam tulisan diterbitkan pada Februari 2012
itu: “Umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing
sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah di abad
yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan
Uthmaniyah terhadap wilayahnya.
“Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab
terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas
semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti
Lawrence (of Arabia) dan rakan-rakan Arab dibantu untuk menentang Turki
Utmaniyah.
“Akhirnya kerajaan Uthmaniyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada
Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di
atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.
“Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes-Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya.
“Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya
kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat
berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi
terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.
“Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi
menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan
masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.”
Sejarah hitam keruntuhan kerajaan Islam itu merupakan satu mesej
yang sering diulang-ulang oleh Tuan Guru apabila menjelaskan tentang
pergolakan yang berlaku di dunia Arab, menegaskan agar umat Islam
belajar dari sejarah.
Beliau turut mengutamakan penyatuan antara umat Islam, dengan
mengetepikan perbezaan-perbezaan politik atau aliran dalam agama, demi
kepentingan perpaduan dan kerjasama yang lebih utama bagi menghadapi
cabaran dan gugatan daripada musuh.
Perspektif inilah yang menjadi antara tunjang utama sikap Tuan Guru
Abdul Hadi dalam mendepani dan menangani isu umat Islam yang sedang
mencabar seluruh dunia Islam pada masa kini.
Mesej penyatuan dan kepentingan mengambil iktibar dari sejarah
sentiasa diberi penekanan oleh Tuan Guru, tanpa teralih perhatian oleh
hal-hal yang ada kalanya ditimbulkan dan disebarkan untuk mengeruhkan
lagi keadaan.
Hal ini menampakkan perspektif jelas dan berbeza Tuan Guru, pada
masa semangat untuk menjatuhkan pemerintah zalim dan menggantikannya
dengan kumpulan Islam sedang memuncak dan sukar untuk menerima
penjelasan selain daripada kepentingan untuk bersegera berjihad
menjatuhkan pemerintah zalim itu.
Pada masa itu, sentimen perbezaan mazhab telah berleluasa dan
diterima ramai, sehingga tercetus pertembungan perspektif yang ketara
dalam kalangan gerakan Islam, dengan pembahagian jelas antara sekutu dan
musuh.
Perspektif Tuan Guru Abdul Hadi ini akhirnya terbukti sebagai satu
pandangan paling tepat dalam mengambil sikap terhadap peristiwa yang
berlaku di dunia Arab, yang kini sedang dilanda perang saudara, perang
proksi dan konflik sektarian yang belum kelihatan hujungnya.
Apa yang sedang berlaku inilah yang ingin dielakkan oleh mereka
yang memahami pergolakan yang berlaku dengan lebih mendalam, yang bukan
hanya memerhatikan apa yang terzahir melalui ucapan-ucapan pihak
terlibat dan dibincangkan di media.
Selepas lebih enam tahun kebangkitan rakyat yang akhirnya membawa
kepada satu konflik serantau yang rumit, sudut pandang Tuan Guru
melibatkan mengambil iktibar dari sejarah, kewaspadaan terhadap
perancangan musuh dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam
telah terbukti sebagai perspektif paling tepat dalam melihat dan
menangani perkembangan politik dunia Islam. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.