DETIK DAILY
Oleh Mohd Sayuti Omar
ATAS semangat untuk melihat negara ini bersalin kerajaan, dan dengan
mempercayai ia dapat dilakukan apabila semua parti pembangkang bersatu -
tidak berpecah, berbagai idea, nasihat dilontarkan agar parti-parti
pembangkang bersekutu.
Pandangan dan formula diberikan bukan sahaja oleh mereka berkepentingan
dalam parti-parti berkenaan, tetapi oleh pemerhati dan penganalis bebas
juga. Aspirasi mereka yang kecewa dengan pemerintah hari ini dengan
merasa kepincangan dan kesilapan pentadbirannya sangat besar untuk
melihat parti oposisi bersatu.
Paling ketara ialah pelawaan dibuat terhadap parti Islam se Malaysia
(Pas) agar kembali bertaut dalam pakatan pembangkang bersama Pakatan
Harapan (PH). Biarpun parti itu menolak relainya Pakatan Rakyat (PR)
yang telah mencatat rekod cemerlang dalam pilihan raya meletakkan BN
kehilangan undi popular, namun kesalahan itu tetap dipanggungkan ke atas
parti tersebut.
Usaha itu dilakukan kerana semua yakin, kekuatan pembangkang akan jadi
padu dengan Pas ikut sama bersatu. Nasihat atau formula agar melupai
pandangan partisan masing-masing dan meletakkan hala ke satu jalan,
tidak mudah dihiraukan. Dalam hal ini yang nampak "babilnya" ialah Pas
kerana parti itu berpegang kepada prinsip agama yang boleh dipertikaikan
dari sudut siasah syariahnya. Sehubungan itu Abdul Hadi Awang dilihat
arkitek meruntuhkan PR?
Namun malangnya, semua usaha, penjelasan, nasihat dan provokasi agar
jadi kenyataan tidak dihiraukan oleh Pas. Parti itu terus juga mahu
bersendirian. Atas keyakinannya, ia mampu untuk melakukan kejutan, Pas
tidak berpaling kepada pembangkang lagi. Pas tetap yakin ia akan jadi king maker dalam politik negara. Kesungguhan Pas itu apabila ia membentuk pula blok ketiga dinamakan Gagasan Sejahtera.
Dalam hal ini Abdul Hadi nampaknya konsisten dengan stail dan pendekatan
politiknya kali ini yakitu, menerima Umno sebagai rakan membangunkan
negara di mana beliau berangan-angan untuk menjadi penasihatnya.
Sehubungan sikap keras dan tegas Pas itu berbagai tuduhan juga dicampak
ke atas parti tersebut ekoran pendiriannya yang dianggap aneh. Ada yang
munasabah namun ada tidak kurang juga ia berupa propaganda dan provokasi
menjatuhkan imej Pas.
Misalnya Pas dituduh sudah dipegang bukan setakat telor oleh Najib
Razak, bahkan batangnya sekali? Atau Pas khasnya presidennya sudah ada
bai'ah dengan Najib, maka ia tidak boleh dirombak lagi sehingga selesai
pilihan raya. Sekiranya Hadi tidak berbai'ah dengan Najib kenapa harus
jadi sekukuh itu Hadi mempertahan dan membela Najib dengan memuji Najib
dan menyokong polisi diperkenal Najib sebagai dianggap baik.
Baiah boleh meletakkan Hadi dalam keadaan ketakutan dan sakit jiwa.
Kalau pun dia ada niat untuk melanggar bai'ah itu bayangan tuduhan
kepada orang Pas yang melanggar bai'ah sebelum ini mungkin menghantui
jiwanya.
Bagaimana pun Hadi menafikan tiada pakatan sulit di antara Pas dengan
Umno. Penafian Hadi itu tidak disertai bukti yang konkrit. Bagi mereka
yang selamanya melihat pembangkang harus bertentangan dengan pemerintah
mengukur sikap diambil Hadi itu sebagai memang wujud kerjasama Pas -
Umno. Dalam politik bukan mudah tuduhan atau mereka yang buat kesalahan
untuk memohon maaf. Bahkan kalau pun memohon maaf ia tetap akan diragui,
persis Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada rakyat atas kesalahannya
tetap dianggap ia tidak ikhlas dan mengikut kehendak Islam.
Tohamah buruk terhadap Pas itu dilakukan kerana keengganan Pas untuk
bersama pembangkang. Pas dianggap sebagai membantu BN. Maka penafian
Hadi itu dilihat tidak boleh diterima atas dasar politik itu rencam dan
sering terbabas dari prinsip kebenaran dan ketulusan. Pas juga dilihat
sudah pandai mengamalkan Machiavelisme dalam siasah syariahnya.
Justeru, kini ia tidak dapat dibuat apa-apa lagi. Pintu rundingan PH
kepada Pas sudah tertutup rapat meskipun belum terkunci. Hendak tidak
hendak maka pembangkang yang bersatu dalam PH kena berhadapan dengan BN
dan serentak itu juga perlu melayan kerenah Pas dengan GS sebagai satu
pihak lain. Persediaan untuk bertarung tiga penjuru perlu disiap
siagakan.
Dan pendirian Pas itu maka semua pihak kena hormat. Pas ada alasan dan
hujah tersendiri yang diyakini kenapa ia bersikeras dengan pendiriannya.
Sama ada ia logik atau tidak, itu masalah dan pegangan politik Pas. Pas
berhak melakukan apa sahaja pendekatan, strategi dan sebagainya sesuai
dengan keinginan dan keyakinannya. Manakala Abdul Hadi dengan sisa kuasa
yang masih ada beliau perlu melakukan sesuatu terbaik yang
difikirkannya. Tidak mungkin dia mahu mengakhiri nyawa politiknya dalam
keadaan tragis dan dikeji sejarah.
Siapa atau pihak mana betul dalam perhitungan kelak, tidak dapat
dipastikan. Hanya selepas bilangan undi dalam Piruam 14 nanti baru
dapat dikaji untuk mencari siapa yang bersalah. Yang jelasnya kalau BN
dapat menguasai kerajaan dan Najib terus mengangkat sumpah sebagai PM,
PH dan GS perlu bertanggungjawab.
Tidak mustahil juga selepas itu nanti, tiba-tiba Pas bergabung
mendirikan kerajaan dengan BN, itu soal lain. Dalam politik, tidak boleh
dinafikan kerana sifatnya bukan seperti sifat Tuhan yang mustahil ia
bertentangan dengan sifat-sifat baharu. Kalau PH juga bersama Umno tidak
pelik. Kita tidak boleh menolak sama ada PPBM, atau PKR bersama BN.
Hanya Amanah dan DAP agak susah tetapi itu pun tidak mustahil.
Oleh kerana itu marilah kita menyerahkan keputusa itu kepada pilihan
raya kelak. Berhentilah kita membuat telahan, kecaman dan kutukan kepada
mana-mana pihak. Semua pihak hendaklah berhenti mengata huduh dan marih
kita berpolitik secara profesional dan rasional.
Yakin dan sedarlah semua parti mengambil bahagian dengan tujuan dan
matlamat untuk membawa kebaikan kepada negara. Tidak ada satu pun yang
ingin mendatangkan keburukan. Kalau pun mereka boleh dilihat khilaf dan
salah ialah dengan pendekatan dan strateginya sahaja. Kesilapan itulah
nanti bakal meletakkan parti itu ke belakang dan sejarahnya akan
dikesalkan.
Untuk itu, kita tunggu pilihan raya. PH tidak perlu memujuk Pas lagi dan
Pas pun tidak perlu memberi reaksi berlebih-lebihan sehingga
menjejaskan maruah dan martabat parti itu sebagai parti agama.-http://msomelayu.blogspot.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.