Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pemimpin PAS hari ini menyelar kenyataan terbaru daripada
Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu
menuduh Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai
'pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri sendiri'.
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad menggesa Dr Mahathir
yang juga Pengerusi PPBM itu untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan
lagi selepas ini, dibimbangi akan menambah dosa dirinya sendiri.
"Semua orang hendak dikafirkan oleh Dr Mahathir. Semalam mufti dikafirkan, hari ini Presiden PAS.
"Lebih baiklah beliau diam. Jika tidak tahu, jangan mengata orang.
Kalau banyak cakap, lagi banyak dosa, di saat-saat akhir ini kita patut
mencari pahala, bukan dosa. Nak mengkafirkan orang itu hendak cari
dosalah," katanya yang dihubungi Antarapos, hari ini.
Mahfodz juga menafikan dakwaan Dr Mahathir berkenaan tindakan PAS untuk
bertanding di 130 kerusi parlimen di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan
datang, bertujuan untuk memenangkan Umno-Barisan Nasional (BN).
"Kita bertanding di 130 kerusi kebanyakan lawan kita Umno.
"Tuduhan mengatakan kita bekerjasama politik dengan Umno tidak ada.
Sudah berulang kali kita katakan, semenjak tahun 2015. Sehingga kini
tidak ada kita hendak bekerjasama dengan Umno dalam politik, melainkan
taawun dalam isu Islam," ujarnya lagi.
Terdahulu, Dr Mahathir dalam sidang medianya pagi tadi menggelarkan
Hadi sebagai 'pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri sendiri' selepas
PAS mengisytiharkan akan bertanding di lebih 130 kerusi dalam pilihan
raya akan datang.
Hadi, sebagaimana didakwa Dr Mahathir sedar akan peluang tipis PAS
sebaliknya mahu memenangkan Datuk Seri Najib Razak melalui kaedah pecah
undi.
Bekas perdana menteri itu juga menyindir PAS yang dilihatnya kini
semakin mesra dengan Umno-BN yang dahulunya pernah menggelarkan parti
pemerintah itu sebagai kafir.
Menjawab tuduhan itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Ahmad Samsuri
Mokhtar menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu terpesong dari landasan
yang sebenarnya.
"Ia satu tuduhan yang terpesong yang disebut kepada Hadi. Saya tak
pasti sama ada beliau benar-benar faham ucapan Hadi yang asal, atau
beliau buat-buat tak faham sebagaimana kebiasaannya iaitu buat tak
faham.
"Pada saya Dr Mahathir terperangkap dengan zamannya dan tidak boleh menerima kebenaran," ujar Samsuri lagi.
Ketegangan antara Dr Mahathir dan Hadi kembali memuncak selepas
Pengerusi PPBM itu membangkitkan isu Amanat Hadi pada Sabtu lalu, sambil
mempersoal tindakan mufti yang berdiam diri dan tidak menegur PAS
bersabit amanat berkenaan.
Hadi membalas kritikan itu dengan menjawab sikap berdiam diri golongan
agama itu disebabkan campur tangan politik semasa zaman pemerintahan Dr
Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.