JOHOR BAHRU: PAS Johor membuat laporan polis terhadap Pengerusi Pakatan
Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ucapannya yang
mengaitkan parti itu dengan peristiwa Memali.
Laporan dibuat Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor Shamsudin
Jaafar di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru
Selatan, petang semalam.
Ini kerana ujarnya kenyataan mantan perdana menteri itu ketika berucap
pada perhimpunan agung pertama PPBM di Shah Alam, Sabtu lalu, adalah
bersifat jahat dan fitnah besar terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang.
"Tun Dr Mahathir sekali lagi cuba mengaitkan peristiwa berdarah yang berlaku di Memali dengan Amanat Hadi.
"Tun Dr Mahathir juga pada kali ini cuba mengaitkan mufti sebagai punca berlaku peristiwa berdarah tersebut," katanya.
Turut mengiringinya membuat laporan adalah Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussein.
"PAS bimbang dengan kenyataan jahat dan fitnah itu boleh menyebabkan
orang Melayu khususnya akan berpecah belah, para mufti tidak dihormati
dan semua yang terlibat dalam peristiwa Memali akan bermusuhan,"
katanya.
Peristiwa Memali tercetus pada 19 November 1985 iaitu pada era
pemerintahan Dr Mahathir, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan
seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim
Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
Pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung akhirnya
mengorbankan 18 orang termasuk guru agama itu beserta empat anggota
polis, dengan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan
beratus-ratus orang.
PAS sebelum ini menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai peristiwa itu supaya rakyat
mengetahui kejadian sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.