Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: DAP tidak ada hak untuk masuk campur urusan PAS, meskipun
melibatkan soal Datuk Mahfuz Omar keluar parti baru-baru ini, tegas
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, dasar parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu juga
ada kekurangannya sehingga ada segolongan ahli dan pemimpin yang
bertindak keluar DAP.
"Mereka tidak ada hak untuk komen tentang PAS. Jaga parti mereka
sudahlah. PAS tahu uruskan parti sendiri. Bagi kita tindakan beberapa
tokoh DAP keluar parti dahulu pun yang di Johor, Melaka; jika dilihat
apa yang dibuat oleh DAP itu mencerminkan tindakan DAP sendiri diprotes
oleh ahli-ahli mereka dan keluar parti, menyerlah sikap cauvanis,
perkauman," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Reaksi Tuan Ibrahim itu menyusul selepas Guan Eng mendakwa tindakan
Mahfuz keluar parti pada Ahad lalu disebabkan perjuangan PAS yang
semakin sesat.
Setiausaha Agung DAP itu mendakwa tindakan yang diambil Ahli Parlimen
Pokok Sena itu kerana kecewa PAS kini dilihat mesra berdampingan dengan
Umno-Barisan Nasional (BN), sehingga mendapat pujian dari kerajaan
memerintah.
"Komen DAP lari dari apa yang Mahfuz sebutkan. Jika kita lihat
kenyataan Mahfuz, tiada kena-mengena dengan PAS sesat, makin jauh...
Bagi PAS, itu hak peribadinya. Kita tahu Mahfuz sudah lama buat
kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti, ini bukan perkara
baru. Semua maklum beliau akan umum (keluar parti).
"Sikap DAP yang menentang dasar-dasar yang dibawa PAS semakin menyerlah
dengan kenyataan beliau. Sebab itu PAS ambil keputusan bahawa tindakan
DAP selama ini menjadi punca kepada sikap tak hormat kepada dasar yang
diperjuangkan oleh PAS," ujar Tuan Ibrahim.
Terdahulu Mahfuz mengumumkan keluar parti kerana kecewa usaha untuk
menarik PAS bekerjasama dengan gagasan pembangkang menemui kegagalan.
Bekas Ketua Penerangan PAS itu bagaimanapun tidak mengumumkan parti mana yang akan disertainya selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.