Rabu, 31 Januari 2018

Mahathirisme tak kenal parti

DETIK DAILY

 
Oleh Hasmi Hashim 

 SELEPAS “Ops Omega” pada 2001, saya serius memikirkan tentang ciri-ciri khusus pentadbiran Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir Mohamad. Di bawah Ops Omega itu, ramai aktivis Reformasi dan pemimpin PKR yang ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya yakin, saya adalah orang pertama yang menimbulkan istilah “Mahathirisme” dalam tahun-tahun berkenaan.

Saya tak berminat dengan cara panggilan-panggilan rendah adab seperti “mahafiraun” dan “mahazalim” yang dikenakan kepada Dr Mahathir. Semua panggilan dan ejekan sebegitu tidak membawa pencerahan apa-apa untuk memahami ciri-ciri khusus politik sepanjang pemerintahan Dr Mahathir.

Di Singapura, ada kajian pemikiran Lee Kuan Yew yang disebut sebagai “Thesis Lee”. Kajian dan istilah itu dikeluarkan oleh pemikir politik-ekonomi yang mashyur yang berasal dari India, Amartya Sen.

Beliau cuba melihat hubungan pertumbuhan ekonomi Singapura yang pesat sejak keluar dari Malaysia pada 1965 dengan tahap demokrasi dan kebebasan. Ketika Barat percaya betapa pertumbuhan mampan hanya dapat berlangsung di bawah lembayung demokrasi, unsur berkenaan hampir tak wujud sama sekali di Singapura.

Hari ini orang menggunakan istilah “Mahathirisme” seenaknya sahaja. Bahkan istilah itu lebih banyak dirujuk kepada hal-hal yang buruk sahaja.

Sementara Mahathirisme yang saya maksudkan lebih sedekad lalu tidak sekadar hanya menyebutkan hal-hal buruk kesan dasar pentadbiran tindakan politik Dr Mahathir. Turut dibincangkan ialah persoalan liberalisme, perihal tradisi lawan modenisasi dan globalisasi, identiti kebangsaan, hak asasi, konsep negara-bangsa, bahkan hubungan agama dan kekuasaan negara.

Lebih tidak adil, “Mahathirisme” hanya ditempekkan kepada Umno sahaja. Sedangkan, tidak!
Mahathirisme juga boleh wujud di dalam parti mana sekali pun, termasuklah parti-parti pembangkang. Sekiranya Mahathirisme itu bermaksud bersikap kuku besi, sikap itu juga boleh wujud dalam parti bukan Umno.

Misalannya Mahathirisme juga bermaksud keinginan memerintah dengan lama, lalu bukankah nafsu tanpa segan-silu itu juga wujud antara para pemimpin pembangkang?

Bahkan selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai PM pada 2003, Umno tidak lagi mempunyai seorang presiden yang terlalu lama di tampuk kuasa.

Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM hanya enam tahun. Najib Razak pula kini di tahun kesembilan dan beliau ada kira-kira lagi setahun untuk melengkapkan tempoh pentadbirannya menjadi genap 10 tahun, atau bersamaan dua penggal.

Sementara itu, di pihak pembangkang pula ada yang sudah memegang jawatan – seperti menjadi ketua menteri – genap dua penggal, tetapi masih belum ada tanda untuk melepaskan jawatan.

Lebih pelik bin ajaib, menjadi budaya baharu dalam politik pembangkang di mana seorang itu diizinkan bertanding dan memegang sampai dua jawatan sekaligus. Satu di peringkat DUN, dan pada masa sama juga di peringkat Parlimen.

Seburuk-buruk era Dr Mahathir, amalan sebegitu tidak wujud. Amalan itu sebenarnya dengan lebih mudah dan cepat akan menjadikan seseorang pemimpin bertukar menjadi kuku besi, tertutup dan diktator.

Justeru itu, apa jaminan tidak wujudnya Mahathirisme di kalangan pemimpin parti pembangkang kalau sudah wujud tanda dan asas lebih buruk pula? Mengaku diri sebagai demokrat memang mudah, tetapi antara yang di mulut dengan yang dilakukan tidak semestinya sama.

Maka tidak hairanlah apabila sudah kedengaran betapa kerasnya pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan apabila berhadapan dengan kritikan. Seakan-akan sudah menjadi amalan biasa, sebagai contoh menyekat peruntukan wakil rakyat tertentu kalau wakil rakyat berkenaan pengkritik pemimpin atasan mereka. Walaupun satu gabungan.

Kalau semua itu adalah amalan politik usang, anti reformasi dan bersifat Mahathirisme dalam maksud yang hitam, mengapa perlu wujud pula dalam pentadbiran baharu yang kononnya mahu melakukan perubahan, menghormati pandangan berbeza dan bersifat demokratik itu?

Betapa dukacitanya kita kalau selepas dua dekad, inilah yang rakyat dapat.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.