Rabu, 31 Januari 2018

Jika rakyat ungkit memilih kerajaan

DETIK DAILY

 
Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
 
KEANGKUHAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin terserlah ketika kunjungan kerjanya di Kelantan beberapa hari lalu. Dalam kenyataannya itu beliau mengingatkan Kerajaan PAS Kelantan mengenai bantuan yang dihulurkan Kerajaan BN pada negeri itu. PM mengungkit bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan mampu membayar gaji penjawat awam jika tidak kerana suntikan dana dari Putrajaya.
 
Analogi kenyataan PM ini ibarat seorang ayah yang kerap kali mengungkit jasa dan pengorbanan ayah terhadap anak-anaknya. Walhal, itu adalah tanggungjawab seorang ayah. Tidak perlu mengungkit hal tersebut pun anak-anak akan tahu bahawa ayahnya yang perlu berkorban untuk anak-anaknya. Malah, itu tugas dan rutin seorang ayah yang membanting tulang bekerja demi kesejahteraan anak-anaknya. Seolah-olah, pemberian selama ini tidak ikhlas dan hanya mengharapkan balasan. Jika begitu sifatnya, inilah watak seorang ayah yang tidak baik kerana sering menuntut dan meminta balasan dengan anaknya terhadap apa yang diberikannya selama ini.
 
Seorang pemimpin yang baik tidak akan berkira dan kedekut terhadap rakyatnya. Dia tidak akan mengira latar belakang, warna kulit, idelogi politik, sokongan, dan kedudukan mereka. Sesiapa sahaja yang susah pasti akan dibantu. Baik Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, mahupun Sabah dan Sarawak menjadi perhatian jika kedudukan mereka susah. Tidak perlu diungkit jasa dan pengorbanan kerana rakyat sendiri yang menilai keikhlasan seorang pemimpin. Sememangnya tugas Perdana Menteri mengagihkan bantuan kepada kerajaan negeri yang memerlukan, termasuk Kelantan.  
 
Pemimpin jahat adalah pemimpin yang bersifat pendendam dengan menyekat bantuan kerana tidak suka kepada sesetengah pihak atau golongan yang tidak menyokongnya. Pelbagai alasan diberikan bagi menghalalkan tindakannya. Hanya kerana benci atau tidak suka kepada kelompok tertentu, yang mungkin kerana mereka tidak menyokongnya, maka pelbagai kekangan dibuat. Jika diberi sekalipun, dia akan mengungkit ‘selama tujuh keturunan’ seolah-olah dia telah berjasa besar dan berbuat perkara paling baik dalam hidup. 
 
Yang PM ingat adalah dia pemimpin besar dan berjasa banyak kepada rakyat, khususnya negeri Kelantan. Yang dia lupakan adalah dia adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Sekali dalam tempoh lima tahun rakyat akan memilihnya dan partinya untuk menjadi Perdana Menteri. Tujuan rakyat memilihnya adalah bagi membela rakyat untuk tempoh lima tahun kemudiannya. Antara rakyat yang memilih BN dalam pilihan raya lalu datangnya dari Kelantan. Justeru, bagaimana dia boleh mengungkit jasa kerajaan sedangkan rakyat pula yang memilih kerajaannya berkuasa selama lima tahun.
 
Bagaimana nanti rakyat mengungkit sumbangan dan jasa mereka yang memilih Kerajaan BN selama ini tetapi PM melupakan mereka. Jika inilah keadaannya, maka rakyat berhak menilai semula sokongan mereka kepada BN. Rakyat mahu memilih pula kerajaan dan pemimpin yang ikhlas dalam berkorban untuk rakyatnya, merasakan rakyat banyak berjasa kepadanya daripada dia berjasa kepada rakyatnya. Tatkala itu baru beliau kenal siapa lebih berkuasa, antara Kerajaan Pusat dengan rakyat.

Tunggulah, beberapa bulan lagi rakyat pula akan memilih mana kerajaan yang mereka impikan dan tahulah PM siapa berkuasa sebenarnya ketika itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.