KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 70 orang ahli PKR Klang, Kota Raja dan
Selayang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai Parti Rakyat
Malaysia (PRM) selepas kecewa dengan pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad
sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).
Bekas Ketua Biro Aduan PKR Selangor, M. Telaiamblam yang baru sahaja
menyertai PRM mempersoalkan rasional PKR menyokong Dr Mahathir -
individu yang beliau dakwa benyak mendatangkan kecelaruan dalam negara
sepanjang 22 tahun memerintah negara.
“Saya membantah sekeras-kerasnya pemilihan Tun M sebagai calon Perdana
Menteri sementara. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengapa
kami (kaum India) terpinggir di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar
di Ibu Pejabat PRM di sini hari ini.
Turut hadir bekas ADUN Teratai, Jenice Lee Ying Ha yang juga menyertai PRM minggu lalu.
Sebelum ini PRM mengumumkan bahawa beliau akan bertanding bagi kerusi
Parlimen Pandan dan DUN Teratai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sebaik sahaja PH mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri
pembangkang, semakin banyak protes malah dialog demi dialog diadakan
yang kebanyakannya mempersoalkan kewajaran ahli politik veteran berumur
92 tahun kembali dilantik ke jawatan itu.
Biarpun pimpinan tertinggi PH berulang kali menyatakan Dr Mahathir
adalah calon perdana menteri sementara, sehingga calon utamanya, Datuk
Seri Anwar Ibrahim bebas daripada penjara, ahli akar umbi serta golongan
yang menggerakkan reformasi pada 1999 tetap tidak gembira dengannya.
Malah banyak pihak melihat Dr Mahathir sebagai liabiliti kepada PH
sementelah terpaksa menepis, menjawab serta mempertahankan Pengerusi
PPBM itu yang sebelum ini menerima jolokkan 'pemimpin kuku besi',
'Mahazalim', 'Mahafiraun' dan juga 'diktator'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.