Isnin, 25 Disember 2017

Wanita derita 13 jam patah kaki, tangan jatuh gaung Gunung Besar Hantu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA KLAWANG: Seorang wanita terpaksa menahan sakit lebih 13 jam selepas terjatuh ke gaung sehingga menyebabkan kaki dan tangannya patah ketika mendaki Gunung Besar Hantu di sini, petang semalam.
 
Noor Jamiah Azizatul Rahimah Maskor, 31, dari Johor mula mendaki gunung itu setinggi 1,462 meter bersama 18 rakan pada jam 9 pagi. Selepas cedera, dia dibawa turun oleh pasukan penyelamat jam 2.15 pagi tadi.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Mohd Fazill Mohd Yunus, berkata kira-kira jam 1 tengah hari, ketika sedang mendaki mangsa tiba-tiba terjatuh ke gaung sedalam 2.5 meter.
 
Katanya, mangsa diselamatkan rakannya tetapi tidak boleh bergerak disebabkan kecederaan yang dialami.
 
"Beberapa rakannya kemudian turun semula ke kaki gunung bagi menghubungi bomba berikutan tiada liputan rangkaian di atas gunung.
 
"Bomba menerima panggilan pada jam 6.26 petang dan tiba di lokasi mangsa terjatuh kira-kira jam 9.12 malam tadi. Laluan sempit dan curam menyebabkan usaha menyelamat berdepan kesukaran, namun dapat turun dengan selamat,” katanya di sini, hari ini.
 
Mohd Fazill berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Jelebu dengan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan.
 
Katanya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Simpang Pertang dan Bandar Seri Jempol terbabit dalam operasi itu.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.