Ahad, 24 Disember 2017

Suka lengah punca pencarum tidak letak penama

SELANGOR KINI




SHAH ALAM: Sikap gemar berlengah dipercayai salah satu faktor menyebabkan hanya empat juta dari 14 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pada masa ini meletakkan penama bagi caruman mereka.

Perancang harta Prudential Assurance Malaysia Bhd, Nor Liza Ahmad berkata, kesedaran masyarakat Malaysia berkenaan pengurusan harta yang rendah dan kurangnya sikap melakukan segera untuk menguruskan aset menyebabkan hanya empat juta pencarum KWSP meletakkan penama masing- masing.

“Semua individu termasuk pencarum KWSP perlu menganggap soal ke mana harta dan wang masing-masing disalurkan apabila mereka tiada kelak sebagai satu perkara penting.

“Semua pihak perlu sedar apabila berlaku kematian, keseluruhan harta milik seseorang individu akan dibekukan sebelum dicairkan semula bagi proses pembahagian harta.

“Masyarakat Islam khususnya mempunyai banyak alternatif untuk menguruskan harta seperti wasiat, faraid, hibah, sedekah dan wakaf,” katanya kepada BERNAMA.

Katanya, dalam hal itu terdapat hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang berbunyi: “Tinggalkan orang yang tersayang dalam kesenangan adalah lebih baik daripada tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.”

Sebagai makluman, bagi yang bukan Islam, penama adalah benefisiari atau penerima mutlak simpanan ahli yang sudah meninggal dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.