Ahad, 24 Disember 2017

Kad KISS bakal dilancar Januari ini

OLEH SHEEDA FATHIL




SHAH ALAM: Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang dinantikan rakyat bakal dilancarkan Januari ini oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pelancaran itu dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada seluruh wanita, terutama golongan ibu di negeri ini.

“Setiap hari di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) sentiasa dipenuhi orang ramai yang hadir untuk memohon KISS.

“Selepas perayaan Krismas ini, kami akan mula membuat tapisan dan memilih pemohon yang layak menerima kad KISS,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, setiap permohonan akan ditapis mengikut kategori ditetapkan.

“Kita faham dengan keadaan ekonomi kini, sudah pasti ramai tidak sabar untuk menikmati faedah yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2018, Mohamed Azmin mengumumkan program KISS dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan yang akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasar raya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.