Oleh HASMI HASHIM
Dalam tamadun-tamadun besar dunia, seniman memang selalu ada tugas lain selain pekerjaan hakikinya sebagai seniman.
Begitu juga dengan penyanyi seperti Sheila Majid mahupun pelakon
seperti Fathia Latiff. Tweet ringkas mereka masing-masing dengan pantas
menjadi tular. Lebih-lebih lagi apabila mereka dilihat menyuarakan
sesuatu yang lebih daripada kisah cinta sepertimana yang selalu
disampaikan dalam lagu-lagu, drama atau filem.
Tampaknya dalam beberapa hari ini, tiada sesiapa yang menafikan hak
seniman untuk bersuara sama ada di kalangan mereka yang propemerintah,
propembangkang mahupun yang independen.
Nampaknya sudah wujud satu
kematangan politik yang luar biasa selain isu yang diketengahkan
menyentuh langsung soal realiti kehidupan rakyat.
Apa yang tidak kelihatan oleh ramai orang, lebih-lebih politikus atau
mereka yang sudah taksub dengan politik kepartian ialah kenyataan yang
ruang kebebasan bersuara yang wujud di Malaysia hari ini adalah jauh
lebih baik. Sekurang-kurangnya kalau dibandingkan di kala Dr Mahathir
Muhamad berkuasa 22 tahun dahulu.
Kebetulan juga hampir setiap orang hari ini mempunyai telefon pintar
dan media sosial masing-masing. Bukan sahaja Sheila dan Fathia, tetapi
artis lain seperti Aznil Haji Nawawi dan Adibah Noor juga saling
mengeluarkan pandangan masing-masing.
Namun dalam keadaan dunia berada di hujung hari sekali pun, di luar
sana ada lagi kerajaan di dunia yang mengharamkan atau cuba menyekat
kebebasan ini. Bahkan ada pula yang masih terus menangkap mereka yang
bersuara bertentangan dengan selera sesuatu kerajaan itu.
Mungkin ramai yang berfikir bahawa rejim tertutup dan kuku besi
seperti China dan Korea Utara sahaja yang bersifat sebegitu terhadap
rakyatnya. Tetapi jangan dilupakan di negara Islam yang pernah dianggap
paling demokratik pun seperti Turki juga sekarang menjadi sangat
tertutup.
Kita boleh saksikan iaitu ketika bantahan terhadap Presiden Tayyib Erdogan (bawah)
memuncak lebih kurang dua tahun lalu, tidak kurang jumlah yang diberkas
dan dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka yang tertangkap dan terdakwa
bukan hanya terdiri daripada golongan politikus penentang, tetapi juga
golongan penulis, pelawak, pelakon, penyanyi sehinggalah model.
Kita boleh membaca berita pada Julai tahun lalu, tentera bawah
cengkaman Erdogan telah menangkap lebih 6,000 penentangnya. Namun
Erdogan berjaya menggunakan strategi yang hampir sama sepertimana yang
pernah digunakan di era Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu demi
terus mengekalkan kuasanya.
Antara lain Erdogan mengambil sikap begitu lantang melaungkan retorik
nasionalisme dengan membayangkan dirinya sebagai seorang nasionalis.
Erdogan tanpa berselindung akan menghentam mana-mana pihak luar seperti
negara-negara Eropah mahupun Amerika Syarikat. Dengan cara itu, maka
rakyat akan melihat dia mewakili kepentingan negara walaupun dalam waktu
sama sangat mengongkong rakyat sendiri.
Kalau jadi di era Dr M
Bagi menampilkan pula dirinya sebagai seorang pejuang Islam, Erdogan
juga menunjukkan kepada majoriti Muslim di Turki bahawa dia adalah wira
umat Islam. Dia akan bersuara di dalam setiap isu yang menyentuh
sentimen umat Islam daripada nasib masyarakat Rohingya sehinggalah
kepada isu ibu kota Israel yang kelmarin akan berpindah dari Tel Aviv ke
Jerusalem.
Begitulah imej berdepan dengan musuh luar menjadikan rakyat Turki
terpukau atau dapat dilalikan dengan kezaliman dalam negara yang
dilakukan Erdogan.
Dalam waktu sama satu dunia tahu, sejak dia melepaskan jawatan
sebagai perdana menteri, Erdogan terlebih dahulu membina istana yang
sangat besar untuk dirinya sebagai presiden. Beberapa tahun lalu,
Erdogan juga tercalit dengan tuduhan korupsi yang melibatkan anaknya.
Hari ini kebebasan bersuara di Turki menjadi sangat buruk. Saya hanya
boleh membayangkan sekiranya tweet panas para seniman beberapa hari
kebelakangan ini berlaku di Turki, maka sudah tentu orang seperti Shiela
mahupun Fathia akan segera diberkas oleh aparat rejim.
Kita juga tidak bisa membayangkan bagaimanakah nasib para seniman itu
kalau Dr Mahathir masih menjadi PM, mungkin mereka juga secara
senyap-senyap akan digam media arus perdana. Peluang untuk mendapat
tawaran menyanyi dan berlakon pasti terpadam sama sekali.
Dalam kata lain, kebebasan bersuara yang sedikit wujud hari ini
sehingga dapat dinikmati oleh sesiapa pun bukanlah sesuatu yang datang
bergolek dan percuma. Ruang demokrasi ini wujud hasil daripada apa yang
diperjuangkan oleh ramai para pejuang sejak hampir dua dekad lalu, iaitu
sejak era Reformasi 1998.
Di ketika itu, mungkin ramai seniman tidak mempedulikan pun ribuan
orang yang dipukul mahupun diberkas. Ramai pula kehilangan punca
pendapatan, pekerjaan dan ada yang sampai bercerai-berai demi perjuangan
demokrasi yang sangat getir itu.
Di ketika yang paling perit itu pun, susah sekali dapat didengar
suara simpati seniman atau sasterawan negara yang mahu bercakap bagi
pihak rakyat yang teraniaya. Lebih memeritkan, perjuangan sedemikian
konon hanya dikaitkan untuk mengangkat dan membebaskan satu-dua tokoh
yang tak dapat menjadi perdana menteri.
Sedikit kebebasan bersuara yang ada inilah yang wajar dipertahan dan
dikembangkan lagi—yang sama pentingnya dengan perjuangan untuk
memulihkan ekonomi rakyat. Sehebat dan setanding apa pun ekonomi negara
ini dapat dipacu kembali, tetapi tanpa kebebasan dan demokrasi maka
pertumbuhan itu akan terencat juga satu saat nanti.
Seniman tak mudah diperbodoh
Dalam pengalaman beberapa kali pilihan raya, saya juga yakin bahawa
tidak mudah pula golongan seniman boleh diperbodoh dan ditunggangi oleh
mana-mana parti politik. Seniman tidaklah dungu dan mereka akan
terhormat sekiranya dapat kekal bersuara bagi pihak rakyat terbanyak.
Atas kesedaran ini jualah, kalau saya seorang yang berkuasa dalam
kerajaan, saya tidak akan memusuhi Sheila, Fathia, Adibah, Aznil atau
sesiapa sahaja yang ingin mengeluarkan pandangan.
Mereka juga mungkin
boleh diundang untuk berdebat dan berhujah di RTM mahupun dalam bual
bicara di satu sudut perhimpunan agung Umno itu sendiri.
Ya, Tak ada apa yang hendak digusarkan. Politik yang matang ialah
kala mana sesiapa pun mampu membawakan hujah-hujah yang bernas tanpa
kata-kata mengejek daripada seniman yang dalam masa sama berada pula di
dalam pasukan Puteri Umno, misalnya. Masing-masing punya hak
berhujah—bukan hak memfitnah.
Sesungguhnya era memancung hujah dengan cara menakut-nakutkan atau
menangkap pihak yang bertentangan fikrah adalah kelakuan di era rejim
lama. Sepatutnya semua itu sudah pun berlalu.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.