Jumaat, 8 Disember 2017

Baitulmaqdis: Najib patut nasihatkan kawannya Trump

DETIK DAILY



Parti AMANAH Negara (AMANAH) mahu bantahan kerajaan Malaysia disegerakan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump agar tidak mengubah kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Pengerusi Biro Antarabanganya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, AMANAH turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Trump itu.

“Kami menuntut Kerajaan Malaysia menghantar bantahan keras ke Amerika atas tindakan memindah kedutaannya ke Baitul Maqadis.

“Datuk Najib sering mengumumkan hubungan baik dan istimewa beliau dengan Donald Trump.Jika benar hubungan tersebut begitu baik, beliau patut menggunakan hubungan istimewa tersebut untuk mempengaruhi polisi Trump untuk kebaikan umum umat Islam sedunia.

“Baik dalam isu pengistiharaan pengharaman umat Islam negara tertentu memasuki Amerika sehingga hasrat Trump memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqadis, Najib membisu seribu bahasa.

“Beliau kelihatan lagi mengutamakan memelihara hubungan peribadi beliau dengan Trump supaya tidak terjejas daripada menggunakannya untuk kepentingan umum umat Islam.

“Ini adalah sikap mementingkan diri dan bukan sikap seorang pemimpin Islam yang berjuang dan berkorban untuk umat Islam sedunia. Adakah ini sikap seorang pemimpin yang kita boleh berbangga membela Islam atau yang patut kita ganti?,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini juga menegaskan seluruh dunia dan Malaysia memerhati kelemahan kepimpinan perdana menteri yang dakwanya amat mendukacitakan.

“Adakah Malaysia mempunyai pendirian dalam isu yang melibatkan salah satu tempat terpenting untuk dunia dan umat Islam? Adakah Umno yang sedang mempunyai Mesyuarat Agong membuat pendirian rasmi tentang isu ini?

“Umno sudah tidak relevan lagi, begitu juga Najib. Dan Malaysia menjadi makin tidak relevan dan tenggelam terus jauh berbanding pada zaman Tengku Abdul Rahman yang pernah menerajui OIC dahulu.

“Apakah pendirian Malaysia dalam isu Amerika memindah kedutaannya ke Baitul Muqadis ? Najib hanya berani boleh menjuarai Islam di Malaysia sahaja seperti seorang jaguh kampung.

“Dipentas antarabangsa Malaysia sudah tidak lagi relevan dibawah kepimpinan Najib. Itulah nasib Malaysia hari ini selepas 60 tahun Merdeka,” ujarnya.

Menurut Raja Bahrin lagi, sejak Trump dilantik Presiden AS beliau bukan menjadi pendamai ketegangan dan persengketaan di Timur Tengah dan juga di Asia terutamanya di Korea.

“Hak orang Islam sedunia tercabar dan maruah kami tercalar teruk hari ini. Baitul Maqadis adalah isu terpenting menyelesaikan isu Rakyat Palestin dan Islam sedunia.

“Amerika adalah musuh nyata orang Islam dan Palestin dengan tindakan ini yang kami kutuk sekeras kerasnya. Hari ini mereka mereka yang memilih menjadi sekutu rapat Amerika adalah musuh umat Islam,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.