Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Penganalisis politik melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) kini sedang mengambil kesempatan di atas krisis yang sedang
melanda Pakatan Harapan (PH), bersabit jawatan calon Perdana Menteri
yang akan diumumkan pada 7 Januari depan.
Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini terjadi ekoran Pakatan
Harapan (PH) tidak mempunyai tonggak pemimpin yang boleh disandarkan
untuk memegang jawatan itu, jika dibandingkan pengalaman Dr Mahathir
yang telah memerintah negara selama 22 tahun.
Apatah lagi semalam, PPBM terus menyatakan sokongan tidak berbelah
bahaginya kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menjawat jawatan itu jika
pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kalau kita lihat Bersatu ketika ini mengambil kesempatan terhadap
konflik yang berlaku dalam PH, terutama dalam PKR sendiri yang kita tahu
Wan Azizah bukanlah seorang pemimpin yang mendapat kepercayaan
sepenuhnya dalam PH.
"Kita tahu juga Anwar pada ketika ini, tidak lagi punya pengaruh yang
besar dalam PH. Jadi bagi saya, sebagai seorang PM yang memerintah lebih
22 tahun, maka sebenarnya Tun M mempunyai pengaruh yang besar dalam PH.
Jadi sebab itulah Bersatu tidak merasakan dengan meletak Tun M sebagai
calon akan mendapat banyak tentangan dikalangan PH," katanya kepada
Antarapos.
Semalam pada perhimpunan agung (AGM) PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin
membayangkan keperluan Dr Mahathir diberi mandat penuh menjadi calon
Perdana Menteri, berbanding hanya memegang sementara kerusi itu untuk
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz juga menyatakan perkara
yang sama, bahawa rakyat mahukan bapanya menjadi perdana menteri
berdasarkan pengalaman selama 22 tahun mentadbir negara.
Mengulas lanjut, pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini
berkata, sehingga kini PH masih belum mencapai kata sepakat berhubung
calon perdana menteri mereka kerana masih ada pemimpin yang tak
bersetuju dengan cadangan nama Dr Mahathir.
"Kalau kita tengok isu ini ia (sebenarnya) belum selesai, kita lihat
PKR sendiri tidak bersetuju dengan peletakan nama Tun sebagai calon PM.
"Kerana mereka pada awal lagi telah mendapatkan persetujuan dikalangan
penyokong PH bahawa Anwar adalah merupakan calon tunggal PM jika PH
menang. Jadi isu nak meletak nama Tun itu bukan dipersetujui oleh semua
gabungan dalam PH," ujar beliau.
Konvensyen PH yang pertama kali diadakan tahun 2018, dikatakan bakal
menamatkan tanda tanya berkenaan siapakah calon perdana menteri mewakili
gabungan itu memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal
diadakan pada bila-bila masa.
Nama Dr Mahathir disebut-sebut menjadi calon perdana menteri interim
dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PH) sekadar dilantik
sebagai calon timbalannya.
Cadangan itu dibuat sewaktu permukiman PH selama dua hari di Putrajaya
baru-baru ini, namun dikatakan beberapa pemimpin PH tidak merestui
cadangan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.