Selasa, 5 Disember 2017

PAU 2017: Terapi minda UMNO menjelang PRU-14

DETIK DAILY

 
 
PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 (PAU 2017) yang berlangsung pada 5 sehingga 9 Disember seperti tradisinya bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seramai 5,739 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan lima hari yang bermula hari ini.

Ia membabitkan 2,761 perwakilan menghadiri PAU, 994 ke Perhimpunan Agung Wanita, dan masing-masing 992 di Perhimpunan Agung Pemuda dan Puteri.

PAU 2017 akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Pada 6 Disember akan diadakan persidangan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta mesyuarat khas Majlis Tertinggi sementara pada 7 hingga 9 Disember Perhimpunan Agung UMNO.

Perjumpaan setahun sekali ini boleh dikatakan sambutan hari raya kepada semua perwakilan UMNO dari serata pelosok dunia yang berjumpa setahun sekali dalam majlis penuh muhibbah dan limpahan warna merah.

Sama seperti sambutan hari raya, seolah-olah sanak saudara dalam satu keluarga besar, UMNO dilihat pemangkin kepada keutuhan institusi Melayu sekali gus harus kekal bersatu demi bangsa yang berjaya.

Minggu ini juga, gema lagu UMNO seolah-olah menjadi azan setiap masa di PWTC mengajak umat Melayu bersatu di bawah satu rumpun kaum yang sama.

Ia juga zikir keramat untuk dibawa di dalam setiap jiwa Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Namun realitinya UMNO masih berhadapan seteru politik yang tidak pernah lupa menjejak strategi kemenangan parti dalam setiap pilihan raya.

Musuh-musuh ini tidak pernah leka walau sesaat untuk memerhati kelemahan UMNO dalam mana-mana sudut demi misi menumbangkan parti.

Jika ada ruang, racun hasutan akan disuntik untuk memastikan perbalahan Melayu berlaku dan perpecahan bangsa menjadi semakin kronik.

Tiada gunanya jika perwakilan UMNO berbincang mengenai kedudukan atau jawatan tinggi dalam parti jika tidak mendapat mandat besar dalam PRU-14.

Paling penting bagi UMNO untuk menyedarkan rakyat terhadap jasa dan apa yang telah dilakukan kerajaan setakat ini.

Bukan terbuai dalam suasana syok sendiri dan akhirnya rebah tanpa disedari.

Tentunya apabila Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan PAU 2017 merupakan persediaan menghadapi PRU-14, ia signal untuk semua bersedia memperhebat usaha memenangi hati dan minda rakyat untuk memastikan kemenangan lebih besar berbanding PRU-13.

Ia merupakan ibu segala pilihan raya yang menjanjikan kemenangan atau kekalahan untuk mana-mana parti berkuasa atau menjadi pembangkang sekurang-kurangnya untuk 10 lagi PRU akan datang.

Pada tahun ini juga, sebanyak 826 usul diterima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak.

Daripada 635 usul yang diterima, 238 usul adalah politik, ekonomi (79), agama (40), sosial (97), pendidikan (114), satu usul melibatkan pindaan Perlembagaan dan 66 adalah lain-lain usul.

UMNO perlu memastikan perhimpunan yang diadakan kali ini bukan sekadar menampakkan feel good factor, inklusif tetapi juga 'mentaliti kemenangan' dalam kalangan ahli parti itu.

Sudah sampai masanya PAU 2017 memberikan tumpuan kepada aspek penyatuan orang Melayu.

Orang Melayu akan terus menjadi kaum yang kuat dan dihormati jika kita bersatu.

Jika begitu hebat kesan penyatuan orang Melayu yang ditiup UMNO, hairan mengapa ada pihak yang masih hendak menolaknya?

Ingatlah, bukan pada masa yang terlambat kelak, 3.64 juta ahli UMNO di seluruh dunia akan menangis kerana melihat parti keramat orang Melayu ini dipijak-pijak seolah-olah tidak membawa walau satu erti lagi.

Pada saat itu, lagu suntik semangat dan terapi brainwash 'Anak kecil main api' yang acap kali menjadi penanda aras kekuatan parti hanya layak disimpan dalam arkib sejarah UMNO dan tidak lagi mahu didengar sesiapa.

Itu mimpi paling ngeri buat UMNO, jadi atau tidak terletak sepenuhnya di tangan pemimpin dan ahli parti itu sendiri. 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.