KUALA LUMPUR: Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di
Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL)
di Johor akan dimansuhkan berkuat kuasa 12 tengah malam ini.
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan berkata pengguna plaza tol
Sungai Rasau, Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam akan menikmati laluan tanpa
tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam
perjanjian konsensi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
"Bagi EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya
perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor
sahaja," demikian menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan mematuhi pengurusan kawalan
trafik dan papan tanda yang disediakan semasa melalui semua plaza tol
terlibat bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat.
Pemansuhan kutipan tol ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018, sebagai bukti
keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan
meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.