KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu yang Syed Alman Zain
Syed Alwi, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, sudah tiada degupan jantung semasa tiba di di Zon Kritikal,
Bahagian Kecemasan dan Trauma Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Pegawai Perubatan di PPUM, Dr Lailajan Mohamed Kasim, berkata prosedur
bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) tidak akan diberikan
sekiranya masih ada degupan jantung ketika pesakit tiba di Zon
Kritikal, Bahagian Kecemasan dan Trauma PPUM.
Dr Lailajan berkata dalam kes Syed Alman Zain pula, beliau tiba di zon
kritikal itu dengan tiada respons nyata dan tiada degupan jantung.
“Kebiasaannya setiap pesakit yang tiba di bahagian kecemasan akan
diperiksa oleh Pembantu Perubatan (MA) untuk memeriksa nadi pesakit yang
tidak memberi respons dan sekiranya tiada degupan nadi, prosedur CPR
akan dijalankan serta merta.
“Ketika si mati tiba di PPUM, prosedur CPR masih diteruskan dengan
dibantu oleh 2 doktor. Saya telah melakukan pemeriksaan terhadap
pesakit, saya dapati pesakit tiada pernafasan spontan, tiada denyutan
nadi dan tiada degupan jantung,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh
Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar pada perbicaraan kes doktor
sakit puan yang didakwa berhubung kematian Syed Alman Zain ketika
menerima rawatan pergigian tahun lepas.
Ketika ditanya sekiranya beliau tahu si mati mempunyai alahan terhadap
ubat, Dr Lailajan yang merupakan saksi ke-19 dalam perbicaraan itu
berkata “tidak tahu”.
Sementara itu, sahabat baik dan rakan peniagaan Syed Alman Zain, Datuk
Faizal Azhar Abdul Rashid berkata seminggu sebelum hari kejadian,
rakannya itu mengadu sakit gigi dan memutuskan untuk mendapatkan rawatan
di Klinik Pakar Pergigian Imperial yang terletak hanya 10m dari pejabat
mereka di Jalan Telawi, Bangsar.
“Syed Alman Zain telah membuat pemeriksaan gigi di klinik itu terlebih
dahulu di mana beliau memberitahu saya terdapat 2 gigi geraham perlu
diekstrak dan rawatan itu memerlukan prosedur anestesiologi. Oleh sebab
itu, pada pagi hari kejadian, saya menawarkan diri untuk menghantarnya
pergi dan pulang dari pusat pergigian itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Faizal Azhar, 38, berkata dia menghantar
rakannya ke pusat pergigian itu sekitar 5.45 dan 5.55 petang, serta
berjanji untuk mengambilnya semula pada 7.00 malam kerana prosedur
rawatan itu mengambil masa satu jam.
Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata, beliau telah pergi semula ke klinik
tersebut selepas sejam namun dimaklumkan oleh kakitangan di kaunter,
prosedur yang dijalani Syed Alman Zain masih belum selesai dan beliau
diminta memberikan nombor telefon untuk dihubungi semula.
“Ketika mereka menghubungi saya semula dan berkata, ‘Anda boleh datang
sekarang’, tiada langsung bunyi cemas kedengaran dari pihak mereka namun
apabila saya tiba di premis klinik tersebut, keadaan di dalam bilik
rawatan tegang dengan kakitangan perubatan sedang cuba melakukan bantuan
prosedur CPR dan sebagainya terhadap rakan saya,” katanya.
Pada 12 Ogos tahun lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius
secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak
bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44,
dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian
mangsa.
Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G HKL didakwa melakukan
kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan
Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara 6.00 petang dan 9.05 malam, 1
Jun 2016.
Dr Ting yang diwakili peguam Dev Kumaraendran didakwa mengikut Seksyen
304(b) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau
denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Syed Alman Zain, suami kepada Datuk Nurulhidayah, 38, anak sulung Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika
menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.
Perbicaraan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor bersambung pada 5 Februari 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.