KUALA LUMPUR – Desakan MCA supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah hasrat yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia dan satu tuntutan yang mahu meleburkan usaha perpaduan negara.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, sebagai parti komponen kerajaan, MCA dianggap telah hilang fokus dan tindakannya itu mengkhianati masa depan negara.
“Tidakkah MCA sedar betapa pentingnya perpaduan dan keamanan. Tidakkah mereka sedar betapa rapuhnya perpaduan masa kini?” soal beliau dalam reaksi balasnya berhubung desakan parti itu kelmarin.
UEC adalah satu sijil yang ditawarkan di sekolah Cina persendirian dengan menggunakan bahasa Cina sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajarannya tanpa mengikut kurikulum kerajaan.
Menurut Sirajuddin, sepatutnya MCA sebagai pihak kerajaan mendokong dasar-dasar kerajaan dan kementerian.
“lni sudah jadi musuh dalam selimut. Keliru betul nampaknya MCA sementara tangan kanan membentuk kerajaan, manakala tangan kiri merobek dasar kerajaan. Ini yang dikatakan, telunjuk lurus kelingking berkait.
“Jika ada mana-mana hak yang menyokong UEC, mereka juga sama ‘pengkhianat’ negara,” ujar beliau.
Katanya, kurikulum dan peperiksaan UEC berkiblatkan negara Taiwan dan Hong Kong, yang tidak langsung mencerminkan budaya serta jati diri Malaysia.
“Hasilnya, yang lulusan UEC ibarat buta sejarah, buta sosial dan buta budaya Malaysia. Di mana letaknya definisi perpaduan dan muhibah yang dilaungkan kerajaan jika UEC ini di ikhtiraf?
“Hentikanlah laungan 1Malaysia jika itu hasrat parti komponen kerajaan itu. Pemimpin yang sayangkan negara ini seharusnya sedar pejuang UEC ini sebenarnya menikam mereka dari belakang.
“Sebaiknya UEC ini dihapuskan sama sekali dan ikutilah sistem pendidikan satu aliran,” katanya.
Beliau turut menyatakan, peperiksaan UEC tidak pernah diluluskan oleh Lembaga Peperiksaan atau Majlis Peperiksaan dan jelas menyalahi Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) Perkara 69 (1) yang menyatakan, tiada seorang pun atau institusi pendidikan boleh mengendalikan atau mengadakan peperiksaan tanpa kelulusan bertulis Pengarah Peperiksaan terlebih dahulu.
“Ini bermakna peperiksaan UEC telah melanggar Akta 550 kerana tidak mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.