Rabu, 22 November 2017

Biar tuhan balas, kata Nozula menangis

Manzaidi Mohd Amin

LIHAT VIDEO DI SINI


KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu hari ini gamat apabila berlaku pertikaman lidah antara Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdullah Ya’kub dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Nozula yang juga wakil rakyat UMNO itu bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada hari akhir sidang DUN  selepas seorang anggota Exco Kerajaan negeri selesai penggulungan.

Bagaimanapun, Abdullah menggunakan sepenuhnya kuasa speaker untuk tidak mengizinkan Nozula selaku Ketua Pembangkang berbahas dan memintanya duduk.

“Sila duduk Yang Berhormat…,” arah Abdullah kepada Nozula yang ketika itu bangun untuk mendapatkan kebenaran berbahas.

Nozula memberitahu, sebagai ketua pembangkang perlu diberi peluang untuk membangkitkan permasalahan rakyat termasuk penduduk di kawasannya di Gua Musang.

“Saya tak bagi peluang perbahasan. Satu hari (bersidang semalam), 10 orang (ADUN) sudah bercakap (berbahas),” kata Abdullah.

Namun, Nozula menjelaskan, peluang yang diberikan kepada 10 ADUN itu semuanya dari kerajaan iaitu Pas, bukan kepada ADUN BN.

“Kelmarin (semalam) saya bangun (nak ambil bahagian), Tuan Speaker beri kepada (ADUN) Pas. Saya bangun lagi, (speaker) beri (kepada) orang Pas. Berapa orang (ADUN) BN saja (dapat peluang),” ujar Nozula.

Tanpa menghiraukan rayuan itu, Abdullah memberi amaran kepada Nozula, jika dua kali lagi arahannya supaya duduk tidak dihiraukan, beliau akan mengarah Bentara supaya membawanya keluar dari dewan.

Nozula yang kesal dengan arahan itu tetap tidak mahu duduk dan serentak itu juga beberapa bentara DUN menghampirinya.

Dalam nada sedih Nozula berkata, dia  akan duduk selepas speaker memberinya peluang berbahas.

Tetapi Abdullah mengarahkan bentara menjalankan tugas membawa keluar Nozula keluar dewan.

Ketika itu juga Nozula menangis dengan suara tersekat-sekat berkata, beliau membawa suara rakyat dan suara mereka perlu dibangkitkan dalam DUN untuk perhatian kerajaan negeri.

“Saya ada rakyat… (rakyat) ada masalah. (Tetapi beliau) tidak boleh nak bawa suara mereka (rakyat).

“Kalau itu tugas speaker, beri arahan kepada saya (keluar dewan), tuhan akan balas…kerana tidak beri peluang kepada saya berucap mewakili rakyat,” kata tersekat-sekat sambil menyeka air mata.

Nozula kemudian dibawa keluar dari dewan oleh beberapa Bentara sambil diiringi beberapa ADUN BN.

DUN Kelantan bagi Bajet 2018 bersidang selama tiga hari bermula 20 November lalu. Tempoh bersidang yang pendek menimbulkan rasa tidak puas hati ADUN BN selaku pembangkang di negeri itu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.