SHAH ALAM: Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Dr Siti Zaharah
Sulaiman berkata beliau tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan Umno
dengan menyertai parti lain.
Siti Zaharah yang kini merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Paya Besar
itu menambah, beliau sebati dengan Umno kerana sudah hampir 40 tahun
berjuang bersama parti keramat Melayu itu.
“Saya masih merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Paya besar dan perjuangan saya dari dahulu adalah bersama Umno.
“Mana mungkin saya akan mengkhianati parti keramat orang Melayu ini.
Saya sudah 40 tahun bersama dan berjuang dalam Umno, saya tidak akan
merosakkan taat setia serta kejujuran saya terhadap Umno,” katanya
dipetik Utusan Malaysia.
Sebelum ini tersebar khabar mengatakan beberapa tokoh terkemuka akan
mengumumkan menyertai PAS pada Himpunan Fastaqim 2.0 yang berlangsung di
Pantai Tok Jembal, malam tadi sekaligus menjadi kejutan pada program
yang berlangsung selama dua hari itu.
Nama Siti Zaharah merupakan antara yang meniti di bibir, disebut-sebut sebagai antara tokoh yang akan menyertai PAS.
Bagaimanapun kejutan yang diuar-uarkan itu hanyalah pengumuman dua
bekas pegawai kanan perkhidmatan kerajaan yang tampil menyatakan
sokongan kepada parti itu.
Kedua-dua mereka adalah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar dan bekas
pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Abdul Rahim Che Daud.
Malah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga
mengumumkan dirinya tidak akan menyertai PAS sebaliknya hanya tampil
memberikan sokongan kepada parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
itu.
Dalam pada itu Siti Zaharah berkata dakwaan yang mengatakan beliau akan
menyertai PAS pada Himpunan Fastaqim 2.0 diterimanya menerusi aplikasi
WhatsApp semalam.
“Saya tidak pernah dan tidak akan berganjak daripada perjuangan saya bersama dengan Umno
“Bagaimanapun, ini adalah asam garam politik dan sebagai orang politik
kita perlu menerima hakikat ini,” kata Zaharah yang juga bekas Menteri
Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.