Oleh Nur Atiqah Samad
ALOR SETAR: Perwakilan Johor Azam Mektar menasihatkan Amanah untuk
berlapang dada dalam menerima keputusan bersabit agihan kerusi pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau memberikan contoh, Amanah wajar menjadikan semangat keterbukaan
yang ditunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengenepikan perasaan
dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menerima bekas perdana
menteri itu sebagai rakan kerjasama dalam pembangkang.
"Kalau kita lihat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu,
Salahuddin Ayob antara pemimpin-pemimpin PH yang pernah dipenjarakan
(ISA) oleh Tun Dr Mahathir.
"Sekiranya mereka ini boleh berlapang dada dan bekerjasama dengan PPBM,
apakah kita sebagai ahli Amanah tidak boleh berlapang dada dengan
pembahagian kerusi yang sama rata dengan PH?”, soal beliau kepada 898
perwakilan yang hadir di konvensyen tahunan kali kedua Amanah yang
berlangsung di sini.
Sehubungan itu tegas beliau yang menyokong usul presiden, Amanah perlu
memastikan tiada pertindihan kerusi yang akan berlaku pada PRU14 dan
menerima segala yang diputuskan Pakatan Harapan (PH).
"Johor berpandangan biarlah asalkan tidak berlaku pertindihan kerusi
seperti PRU13. Kita tak mahu peristiwa pilihan raya negeri Sarawak
(berlaku) pertindanan kerusi PH berulang kembali pada PRU14.
"Kita Amanah sebagai sebuah parti politik Islam, kita perlu belajar
daripada sejarah di samping hadam dengan sejarah kita perlu menjadi ahli
politik yang boleh menjangkau masa depan,” ujar beliau.
Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bersaing dalam PRU buat kali pertama.
Kedua-dua parti itu mengharap ‘ehsan’ daripada PKR dan DAP dalam memberikan kerusi kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.