Dalam Bajet 2018 yang memberikan bantuan RM200 sebulan untuk 3 bulan sebelum musim menuai kepada golongan pesawah yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak akan dapat menyelesaikan masalah utama industri padi dan beras negara ini.
Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) berkata, pemberian itu hanya bersifat sementara untuk meredakan kemarahan pesawah yang sebelum ini mendesak kerajaan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi mengantikan syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).
Dengan peruntukan hampir RM150juta itu khusus kepada 146,000 pesawah berdaftar ia tidak akan dapat mengatasi masalah golongan pesawah apabila kerajaan didakwa, masih gagal mengawal kenaikan kos yang seiring dengan kenaikan harga padi yang terpaksa di tanggung oleh pesawah di negara ini.
Setiausaha Kordinasi Padi Rescue Nur Fitri Amir Mohamad berkata,eko sistem padi dan beras di negara ini perlu diubah kepada satu sistem yang lebih menyeluruh tidak membebankan golongan pesawah dan pengilang padi.
“Tidak guna jika peruntukan yang besar tetapi hanya akan disedut oleh kartel pertanian yang mencekik pesawah dengan kenaikan kos bertani dan potongan pemutuan padi yang tinggi.
“Kerana itu 14 Tuntuan Padi Rescue menjurus ke arah perubahan sistem dengan mendesak kerajaan menubuhkan semula LPN yang mana kali ini fungsi LPN merentasi bekalan padi dan beras bermula dari benih padi hingga ke pasaran beras,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Bukit Bangsar semalam.
Katanya lagi, jika tanpa kewalan akan berlaku kenaikan harga beras di pasaran.Ini kerana kerajaan tidak mengenakan kawalan harga padi di peringkat kilang.
“Kita percaya kebajikan petani ada kesan dengan pasaran beras, bukan bergantung kepada kualiti padi semata-mata. Kalau bagi bantuan RM200 sebulan tidak menyelesaikan masalah ekosistem yang sudah lama menghimpit kehidupan petani selama ini,” ujarnya.
Beliau memberikan contoh yang mana ketika kerajaan meletakkan harga tetap padi kepada RM1,200 tetapi disebabkan kenaikan kos tanpa kawalan seiiring dengan kenaikan harga padi, akhirnya pesawah tidak merasa apa-apa kelegaan.
Perkara ini dijelaskan oleh pesawah dari Bukit Rambai Melaka Mohd Shakirin Mohamad Zan yang mendakwa, sebelum harga diselaraskan oleh kerajaan potongan hanya 15% hingga 17% tetapi apabila kenaikan harga diselaraskan RM1,200 berlaku pula kilang-kilang menaikan peratusan setiap tahu dan terkini antara 24% hingga 26% harga.
“Jika kos setinggi itu tidak termasuk kos pemutuan, kos bajak, kos benih padi dan kos-kos lain pesawah cukup merasai keperitan,” ujarnya.
Manakala Timbalan Pengerusi Persatuan Pengilang Melayu Mohamad Termizi Yop pula berkata, tekanan amat dirasakan dikalangan pesawah, pengilang dan pemborong Melayu.
“Bekalan benih ditanggung petani tetapi kerajaan tidak meletakkan harga syiling pada harga runcit yang kini dikawal di peringkat kilang.
“Kita mengharap sebelum bajet dibentang ada ruang untuk petani dan pengilang dan pemborong Melayu.
“RM200 ini adalah antara yang kami minta dalam memorandum kami dan ia hanya skop kecil daripada 14 tuntutan yang kami buat sebelum bajet dibentangkan oleh perdana menteri,” ujarnya.
Justeru Padi Rescue berpandangan jika kerajaan gagal mengawal kos industri padi dan beras negara ini kemungkinan akan berlaku kenaikan harga beras di pasaran.
Ini akan memberikan kesan kepada petani yang terjejas kerana kos yang sentiasa naik dan ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada penawaran beras negara.
“Sekiranya eko sistem yang ada hari ini terus kekal tidak mustahil satu hari kelak hanya orang yang berkemampuan yang mampu beli beras,” terangnya.
Padi Rescue yang bekerjasama dengan Majlis Tindakan Eknomi Melayu (MTEM) sejak 2013 telah mengkaji ekosistem industri dan beras negara yang dilaksanakan kerajaan selama ini.
Justeru Padi Rescue berpandangan walaupun Bajet 2018 telah diumumkan oleh perdana menteri, badan bertindak ini mengharapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji semula kegagalan Bernas dan keperluan untuk mengwujudkan semula LPN.
Najib dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lalu, mengumumkan peruntukan RM6.5bilion kepada golongan pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah.
Bagi golongan pesawah buat pertama kali Najib yang juga menteri kewangan mengumumkan bantuan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dengan peruntukan hampir RM150juta kepada pesawah.
Selain itu peruntukan RM2.3bilion bagi bantuan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah yang turut membabitkan pekebun kecil getah dan nelayan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.